Bawa usul tuntut hak Sabah ke DUN, Jeffrey desak kerajaan negeri

Jeffrey Kitingan.

KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang Sabah, Jeffrey Kitingan mencabar kerajaan negeri membawa beberapa usul untuk disokong Dewan Undangan Negeri bagi menuntut semula hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semasa berdebat di DUN hari ini, Kitingan berkata usul-usul yang wajar dibentangkan termasuklah usul memulangkan royalti minyak dan gas dengan menuntut Pakatan Harapan menunaikan janji memberi royalti 20%, memulangkan 40% daripada pendapatan bersih yang dikutip kerajaan persekutuan dari Sabah, dan kedudukan sama rata dengan Tanah Melayu.

“Perkara 8 MA63 menyatakan kerajaan Sabah mempunyai hak untuk melaksanakan jaminan dan cadangan Annex A dan B dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) selagi mana ia tidak dilaksanakan oleh peruntukan tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna kita masih mempunyai harapan. Kita mesti berani menuntut hak kita. Kita diabaikan sejak 56 tahun lepas. Cukup-cukuplah,” katanya.

Adun Tambunan itu mendakwa akibat “dasar penjajahan” Kuala Lumpur, Sabah gagal menuntut 40% daripada pendapatan bersih yang diperoleh kerajaan persekutuan, yang dianggarkan sekitar RM20 bilion setahun.

Permeteraian Perjanjian Petroleum 1976, katanya, juga menyebabkan Sabah kehilangan antara RM25 bilion dan RM30 bilion setahun.

Dari segi politik, beliau berkata Sabah kehilangan kuasa kerana parti-parti politik yang diimpot akhirnya mengambil alih kerusi Parlimen dan negeri yang sepatutnya milik Sabah.

“Ini bermakna kita tertakluk kepada Tanah Melayu. Kita menghadapi masa depan yang gelap,” katanya.

Beliau percaya Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) yang dicadangkan di Dewan Rakyat pada minggu lalu tidak akan menjadikan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Tanah Melayu.

“Sama ada rang undang-undang itu berjaya atau tidak, ia tidak akan mengubah apa-apa kerana tiada sebutan sama rata dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, ia akan mengelakkan taraf Sabah dan Sarawak disamakan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu dan sebab itulah kami menyokongnya,” katanya.