Fisher-Price tarik balik produk Rock ‘n Play Sleeper

Produk Rock ‘n Play Sleeper ditarik balik pengeluarannya kerana membahayakan bayi. (Gambar Fisher-Price.com)

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS mengumumkan Fisher-Price menarik balik semua produk Rock ‘n Play Sleeper pada Jumaat (12 April 2019).

Ia berikutan lebih 30 kematian dilaporkan dalam tempoh 10 tahun lalu, iaitu sejak ia dikeluarkan pada 2009.

Menurut portal Channel News Asia, antara punca kematian bayi yang melibatkan produk Rock ‘n Play Sleepers berlaku apabila bayi tidur secara meniarap atau secara sisi tanpa mereka sedari.

Laporan dari ABC News juga mendapati, kebanyakan bayi yang meninggal dunia berusia kurang dari 3 bulan.

Punca kematian juga dinyatakan sebagai asphyxia, iaitu masalah pernafasan yang disebabkan oleh posisi bayi.

Oleh itu, American Academy of Paediatrics atau AAP yang merupakan antara badan profesional menggesa produk tersebut ditarik balik.

Mereka juga tidak mengesyorkan sebarang produk seperti car seat, stroller, atau apa-apa katil digunakan untuk menidurkan bayi yang menyebabkan bayi tidak dapat bangun sendiri jika tergolek.

“Kami yakin dengan keselamatan produk kami. Walau bagaimanapun, disebabkan insiden yang dilaporkan di mana produk itu digunakan bertentangan dengan amaran dan arahan keselamatan, kami telah membuat keputusan untuk menarik balik Rock ‘n Play Sleeper dengan kerjasama Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna,” menurut pemilik Fisher Price Mattel Inc.

Demi keselamatan bayi, wakil dari pihak Fisher-Price menasihatkan agar pengguna harus segera berhenti menggunakan produk yang dinyatakan dan menghubungi Fisher-Price untuk bayaran balik atau baucar.

Kenyataan media yang dikeluarkan Pengurus Besar Fisher-Price.com

Penarikan balik itu akan menjejaskan 4.7 juta produk tersebut.

Buaian atau bouncer Rock ‘n Play mendapat sambutan kerana ia berfungsi secara automatik untuk mendodoikan bayi hingga tertidur.

Malah, model terkini turut dilengkapi dengan bunyian yang membuat bayi terasa aman dan selamat.

Tetapi tak salah untuk kita lebih berhati-hati walaupun sudah menggunakan produk yang bermutu dan berjenama terkenal kan?

Bagaimanapun dalam hal ini, ibu bapa perlu lebih prihatin akan keselamatan anak-anak.

Sumber Fisher-Price.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]