Itu tradisi kami, TLDM pertahan isteri Mat Sabu rasmi kapal

Normah Alwi (depan, tengah) bergambar bersama pegawai TLDM selepas melancarkan Kapal Misi Pesisir di Wuhan, China, semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia hari ini mempertahankan keputusan membenarkan isteri menteri pertahanan merasmikan sebuah kapalnya kerana ia adalah tradisinya sejak TLDM ditubuhkan.

TLDM berkata, ia bukan perkara baru untuk “lady sponsor” atau isteri orang kenamaan, seperti isteri perdana menteri, menteri pertahanan atau kerabat diraja menamakan dan merasmikan kapalnya.

“Bagi kapal-kapal yang dinamakan sempena nama negeri, isteri atau wanita berkaitan dengan negeri tersebut akan dipilih. Seperti KD Kedah dinamakan oleh Puteri Sultan Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz.

“Bagi kapal-kapal dinamakan sempena nama pahlawan, wanita kepada waris nama tersebut atau wanita kenamaan dari negeri tersebut akan dipilih. Contohnya, kapal Littoral Combat Ship 1, iaitu Maharajalela dinamakan oleh Raja Permaisuri Perak.

“Bagi kapal-kapal selain daripada nama negeri dan pahlawan, isteri kenamaan negara dipilih, contohnya KD Tunku Abdul Rahman dinamakan oleh isteri timbalan perdana menteri pada masa itu, Rosmah Mansor pada 2007,” katanya dalam satu kenyataan.

Kapal Misi Pesisir pertama milik TLDM yang dinamakan ‘Keris’.

Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri ketika itu, menamakan KD Jebat pada 1985.

Maria Musa, isteri Musa Hitam ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri, merasmikan KD Mahawangsa pada 16 September 1982, manakala Tunku Maziah Tunku Mustapha, isteri Abang Abu Bakar Abang Mustapha ketika menjadi timbalan menteri pertahanan, melancarkan KD Kasturi dan KD Lekir pada 14 Mei 1983, KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Laksamana Tan Pusmah pada 30 Mac 1984.

Kontroversi timbul selepas Normah Alwi, isteri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melancarkan Kapal Misi Pesisir (LMS) pertama milik TLDM yang dinamakan Keris di Wuhan, China, semalam.

Ia antara 4 kapal LMS di bawah kontrak bernilai RM1.17 bilion yang dimeterai antara Putrajaya dan China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) pada 2017.

Pada 2012, Fauzi Abdul Rahman yang merupakan pengerusi Kor Bekas Angkatan Tentera (Kobat) ketika itu mempersoalkan tindakan Rosmah melancarkan kapal latihan, Gagah Samudera milik TLDM.

Fauzi dilaporkan berkata, pelancaran itu sepatutnya disempurnakan anggota Kabinet atau mengikut protokol kerajaan, bukannya isteri perdana menteri.