Kanak-kanak 8 tahun hilang selepas keluar bermain

Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi. (Gambar Facebook)

KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra petang semalam.

Kanak-kanak itu dikenali sebagai Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dikatakan keluar dari rumahnya untuk bermain kira-kira 8 pagi semalam.

Ibu mangsa Sainih Sunding, 46, berkata anak bongsu daripada 5 beradik itu tidak pergi ke sekolah semalam dan keluar untuk bermain dengan rakan.

“Saya sedar kehilangannya selepas dia tiada di tempat bermain dan kawasan sekitar rumah bila saya pulang ke rumah dari tempat kerja,” katanya yang bekerja sebagai pencuci ketika dihubungi hari ini.

Sainih berkata jiran memaklumkan Zahiruddin ke kedai berhampiran pada waktu tengah hari dan kali terakhir dilihat bermain dengan rakan di sekitar kawasan kejiranan itu.

Katanya, Zahiruddin kali terakhir dilihat memakai baju kemeja T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna biru.

“Saya amat bimbang dengan keselamatan anak saya kerana dia tidak pernah tidak pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata laporan kehilangan Zahiruddin dibuat bapa mangsa di Balai Polis Bangi, awal pagi tadi.

“Mangsa kali terakhir dilihat bermain di taman permainan di rumahnya pada Isnin, kira-kira 6 petang. Ini merupakan kejadian kali pertama mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis menghantar permohonan Nur Alert untuk membuat hebahan dan makluman bagi mengesan mangsa.

“Makluman juga dipanjangkan kepada Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk hebahan kepada anggota bertugas membuat rondaan,” katanya.

Dzaffir berkata kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Zahiruddin diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.