Katedral Notre Dame di Paris terbakar

Asap tebal menyelubungi bahagian atas katedral Notre Dame manakala nyalaan besar kelihatan antara 2 menara locengnya. (Gambar Bernama)

PARIS: Puncak menara Katedral Notre Dame di pusat bandar Paris runtuh dalam satu kebakaran besar pada Isnin petang, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Kebakaran bermula pada kira-kira 1700 GMT waktu tempatan, menurut media Perancis. Ia mungkin berkaitan dengan kerja pengubahsuaian yang sedang dilakukan di katedral zaman pertengahan itu, antara tarikan pelancong ke bandaraya tersebut.

Anggota bomba kini bertungkus-lumus untuk mengawal kebakaran, kata Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo.

Rakaman visual online menunjukkan asap tebal menyelubungi bahagian atas katedral itu manakala nyalaan besar kelihatan antara 2 menara locengnya menelan puncak menara dan keseluruhan atap, yang kemudian runtuh.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Susulan kebakaran itu, Presiden Emmanuel Macron, yang dijangka berucap pada 1800 GMT, menunda kemunculannya di kaca televisyen bagi mengumumkan beberapa langkah untuk mengekang pemberontakan sosial, menurut pejabat beliau tanpa memberikan butiran lanjut.

Macron, yang diiriingi Perdana Menteri Edouard Philippe, bergegas ke lokasi kejadian.

Pejabat pendakwa Paris memulakan siasatan bagi menentukan punca kebakaran.