Kerajaan kekal sama walaupun kalah di Rantau, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan Pameran dan Pertunjukan Teknologi serta Inovasi Kejuruteraan Rel Tempatan Terbesar di Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), hari ini.

CYBERJAYA: Kekalahan dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau tidak memberi sebarang kesan kepada Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi PH itu berkata, keputusan di Rantau tidak mengugat dan mengubah kerajaan kerana Putrajaya dan kerajaan Negeri Sembilan tetap dikuasai PH.

“Kebanyakan parti kerajaan masa PRK tidak dapat banyak sokongan kerana tidak ada banyak perubahan kepada kerajaan.

“Kerajaan kekal sama, sama ada kalah atau menang,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran dan Pertunjukan Teknologi serta Inovasi Kejuruteraan Rel Tempatan Terbesar di Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), hari ini.

Mahathir berkata demikian bagi mengulas kekalahan ketiga berturut-turut PH dalam PRK.

Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan majoriti selesa, 4,510 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad Hasan mendapat 10,397 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Dr S Streram yang memperolehi 5,887 undi dan 2 calon bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 83 undi dan 79 undi.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi 79.3%, melepasi sasaran SPR dan tertinggi dalam 7 PRK.