Kereta api ialah pilihan masa depan, kata PM

CYBERJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, kereta api ialah pengangkutan pilihan bagi masa depan Malaysia yang bergelut masalah kesesakan lalu lintas setiap hari disebabkan pertambahan kenderaan di jalan raya.

“Sebelum ini, kereta api tidak laju dan bukan pengangkutan biasa bagi rakyat. Sekarang, kereta sudah bertambah sehingga tahap kita mengalami kesesakan.

“Jawapan jelas sebagai pengganti ialah sistem kereta api yang lebih laju kerana tiada papan tanda henti-lihat-gerak, hanya tanda isyarat,” katanya selepas Pameran dan Pertunjukan Teknologi serta Inovasi Kejuruteraan Rel Tempatan Terbesar di Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) di sini, hari ini.

Perdana menteri berkata, kereta api ialah pilihan lebih baik daripada kapal terbang, “jika jarak perjalanan tidak terlalu panjang” kerana ada banyak pemeriksaan membabitkan penerbangan, khasnya kebimbangan terhadap keganasan.

“Tetapi ia tidak patut terlalu pendek. Jika masa perjalanan (dipendekkan) 15 atau 20 minit, maka ia tidak berbaloi.”

Terdahulu, Mahathir dalam ucapannya berkata, limpahan sosial ekonomi daripada sistem kereta api adalah besar kerana perkhidmatan kereta api elektrik membawa manfaat komersial.

“Kereta api laju merangsang pelancongan dan meningkatkan premis runcit dan nilai hartanah.”

Katanya, nilai sesetengah hartanah perumahan dan komersial di sepanjang laluan kereta api utama di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar meningkat 15 hingga 25%.

“Trend yang kita lihat ini dijangka tidak turun dalam masa terdekat,” katanya sambil menambah kadar urbanisasi di Malaysia ialah 75%, iaitu 20% lebih tinggi daripada kadar global.

“Bayangkan jenis ekosistem mobiliti yang diperlukan untuk ini.”

Mahathir berkata, jajaran KLIA Ekspres perlu ditambah baik dan diluruskan untuk mengurangkan masa perjalanan.

“Tetapi, itu akan menyebabkan kos bertambah.”

Pada sesi soal jawab selepas majlis perasmian, Mahathir berkata, beliau akan mengkaji sistem percukaian yang dilaksanakan ke atas pengeluar tempatan.

Beliau menjawab soalan mengenai pengeluar asing yang dikecualikan cukai, tetapi syarikat tempatan perlu membayar cukai jualan dan perkhidmatan.

Beliau menasihatkan rakyat tidak memandang rendah pencapaian Malaysia, termasuk dalam sektor pembuatan kenderaan.

“Kita beli kereta import, tetapi duit itu mengalir keluar dan kita menjadi miskin.

“Kita mempunyai kapasiti, tetapi dasar kita nampaknya menggalakkan import berbanding eksport,” katanya sambil menambah langkah itu tidak memanfaatkan negara dan kerajaan perlu menstruktur semula sistem cukai supaya lebih banyak produk akan dihasilkan secara domestik.

Walaupun kerajaan tidak boleh memaksa rakyat membeli produk tempatan, tetapi beliau berharap rakyat Malaysia akan mencontohi orang Korea atau Jepun yang lebih menggemari produk sendiri berbanding import.