London akan anjur kejohanan renang para selepas hak Malaysia dilucut atas isu Israel

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) memberikan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan berlangsung pada September ini kepada London.

Ia selepas IPC melucutkan hak penganjuran Malaysia kerana gagal memberi jaminan yang atlet Israel boleh menyertai kejohanan itu dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

“Kami gembira mengumumkan London sebagai bandar penganjur Kejohanan Renang Para Dunia,” kata Presiden IPC, Andrew Parsons dalam satu kenyataan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada bandar London, Sukan UK dan Renang British atas usaha mereka menganjur dan menyokong kejohanan ini, kelayakan utama bagi temasya Tokyo 2020, dalam masa singkat.”

Kejohanan di London itu, yang merupakan pusingan kelayakan utama bagi Paralimpik Tokyo pada 2020, ialah kali ke-2 acara dwitahunan itu diadakan di Britain, selepas penganjuran di Glasgow pada 2015.

Kejohanan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Malaysia pada akhir Julai hingga awal Ogos ini, tetapi Parsons mengakui proses bidaan baru memaksa penganjur menangguhkannya ke 9 hingga 15 September ini.

“Kami menghargai tarikh ini tidak sama dengan tarikh asal yang dijadualkan di Malaysia dan tarikh baru ini akan mempunyai kesan ke atas program prestasi perenang kelainan upaya.

“Bagaimanapun, susulan pembatalan kejohanan di Malaysia dan pembukaan proses bidaan baru, ia tidak sesuai mengadakan acara baru pada akhir Julai dan awal Ogos.”