Mahkamah tetapkan 15 hari bicara kes Najib, Arul Kanda pinda laporan 1MDB

Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy meminta dibicarakan, selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan terhadap mereka di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 15 hari bermula 18 November hingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan selepas sebutan kali pertama kes itu di depannya.

Terdahulu, Najib, 66, yang diwakili peguam, Muhammad Shafee Abdullah dan Arul Kanda, 43, yang diwakili N Sivananthan meminta dibicarakan, selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan terhadap mereka.

“Tarikh bicara ditetapkan 18 November hingga 29 November 2019 dan 13 Januari hingga 17 Januari 2020,” kata hakim yang menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil 25 hingga 30 saksi.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu perdana menteri menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.