Pelajar undang TMJ ke forum Statut Rom

KUALA LUMPUR: Forum mengenai Statut Rom akan diadakan hujung bulan ini dihadiri oleh Peguam Negara, Tommy Thomas, dan Tunku Mahkota Johor akan diundang, kata seorang aktivis pelajar.

Asheeq Ali menganggap Tunku Ismail Sultan Ibrahim “keliru sepenuhnya” berhubung dengan perjanjian antarabangsa itu.

“Kalau TMJ mahu datang ke forum itu, saya dengan gembiranya akan mengundang.

“TMJ keliru sepenuhnya tentang semua ini dan membuat segala kekeliruan yang timbul jadi lebih teruk,” katanya pada sidang media di depan Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya hari ini.

Terdahulu, Asheeq, bersama 8 rakan mahasiswa, mendedahkan kertas rumusan eksekutif Statut Rom yang dikatakan dibentangkan 4 pensyarah kepada Majlis Raja-raja.

Kertas itu didakwa menjadi antara punca penarikan balik perakuan perjanjian antarabangsa tersebut oleh kerajaan pusat.

Empat pensyarah yang dikaitkan dengan dokumen itu ialah Timbalan Naib Canselor Univerisiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Rahmat Mohamad; pensyarah undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi; dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Shamrahayu Abdul Aziz.

Asheeq berkata, beliau berusaha sebaik mungkin menyediakan ruang perbincangan yang adil dengan mengundang semua pihak terlibat, termasuk Thomas, bagi memberi penjelasan.

“Kami merasakan sangat penting untuk semua yang terlibat dalam pembentangan Statut Rom kepada Majlis Raja-raja bersemuka dengan rakyat dan menyatakan kebenarannya,” katanya.

Bagaimanpun, kata Asheeq, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada 2 orang pensyarah, iaitu Shamrahayu dan Fareed.

“Kami tetap akan menyediakan 2 kerusi kosong pada hari itu. Jika mereka berubah fikiran pada hari berkenaan, mereka diundang hadir ke forum tersebut.”

Media dimaklumkan, forum yang bertajuk “Malaysia dan Statut Rom” itu bakal berlangsung pada Sabtu, 27 April bertempat di Auditorium Tun Suffian, UM.

Ia bermula 10.00 pagi hingga 1.00 petang dan terbuka.