Pertubuhan rel mahu PM bantu syarikat tempatan sertai projek ECRL

Dr Mahathir Mohamad melihat model kereta api sempena Pameran dan Pertunjukan Teknologi serta Inovasi Kejuruteraan Rel Tempatan Terbesar di Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA: Pertubuhan Industri Rel Malaysia (Maric) berharap perdana menteri boleh membantu syarikat tempatan yang memfokuskan produk sistem berkaitan untuk terbabit dalam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Presidennya, Mohd Yusoff Sulaiman berkata, syarikat tempatan mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk memenuhi piawaian pembinaan projek itu.

“Maric yang terdiri daripada 36 syarikat akan terlibat dalam Technomart Rel 2019 untuk bercakap tentang hal ehwal rel, termasuk pembaikan dan baik pulih (MRO) serta perundingan kejuruteraan.

“Kenapa tidak kita angkat produk tempatan? Kita semua boleh. Mungkin dalam sektor semboyan kita kurang, tapi ini boleh kita teroka untuk mempertingkatkan kepakaran,” katanya ketika berucap pada Pameran dan Pertunjukan Teknologi serta Inovasi Kejuruteraan Rel Tempatan Terbesar (Technomart Rel 2019) yang dirasmikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) hari ini.

Jumaat lalu, Putrajaya mengumumkan projek ECRL yang digantung sejak Julai 2018, diteruskan dengan kos pembinaan fasa 1 dan 2 dikurangkan 32.8% atau RM21.5 bilion, daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion, susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company (CCCC).

Susulan itu, wakil khas perdana menteri, Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan ECRL dengan China dilaporkan berkata, jajaran baru projek itu dikurangkan 40km daripada 688km kepada 648km dan beberapa stesen, termasuk Gombak dibatalkan.

Bagaimanapun, katanya, jajaran itu akan disambung ke Jelebu, Negeri Sembilan.

Kerajaan Pakatan Harapan menggantung projek itu sejak Julai 2018 disebabkan kos pembinaan terlalu tinggi.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, pembabitan anak tempatan dalam kerja awam ECRL dinaikkan kepada 40% berbanding 30% dalam perjanjian asal.