Putrajaya akan bayar pampasan pada Singapura kerana gantung projek HSR

Replika gerabak HSR buatan China yang dipamerkan selepas perasmian ‘China HSR Experience Cube’ di KL Sentral, pada 16 Januari 2017. (Gambar Bernama)

CYBERJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) masih digantung sejak tahun lalu, sementara menunggu rundingan antara 2 negara.

“Buat masa ini, kita tidak akan membinanya.

“Kita telah meminta diberikan 2 tahun sebelum kita berbincang semula. Buat masa ini, kita belum memberikan sebarang kontrak, jadi kita perlu membayar ganti rugi kepada Singapura.”

Terdahulu, perdana menteri hari ini berkata, HSR mungkin disambung dari Johor Bahru ke Pulau Pinang atau sepanjang sempadan Thailand.

Ditanya jika Singapura akan bersetuju dengan jajaran HSR dipanjangkan ke sempadan Thailand, katanya: “Saya tidak fikir mereka pernah pertimbangkannya. Mereka hanya fikir tentang KL.”

Beliau berkata, jajaran dari Johor Bahru ke Pulau Pinang hanya akan dipertimbangkan “apabila tiba masanya”.

“Buat masa ini, kita tidak memerlukan jajaran sedemikian. Mungkin kemudian.”

Dr Mahathir Mohamad (5 dari kiri) menyaksikan pertukaran perjanjian tambahan HSR antara kerajaan Malaysia yang diwakili Azmin Ali (3 dari kanan) dan kerajaan Singapura yang diwakili Khaw Boon Wan (4 dari kiri) di Putrajaya, pada 5 September 2018. (Gambar Bernama)

Projek HSR digantung sejak 5 September 2018 dalam perjanjian tambahan yang dimeterai antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.

Di bawah perjanjian itu, projek berkenaan ditangguhkan sehingga 31 Mei 2020. Jika Malaysia tidak meneruskan projek itu tahun depan, ia perlu menanggung kos yang dipersetujui Singapura dalam memenuhi perjanjian dua hala HSR.

Julai tahun lalu, Singapura dilaporkan berkata, ia akan cuba mendapatkan kos lebih S$250 juta (AS$181.66 juta), jika Malaysia membatalkan projek itu.