Putrajaya akan siasat 97 jentera bomba didakwa tersadai

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menyiasat 97 jentera bomba berharga RM165 juta yang didakwa tersadai di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ketua setiausaha kementeriannya serta ketua pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah diarah menyiasat dakwaan itu, termasuk jika wujud penyalahgunaan atau proses tidak betul.

“Jentera itu merupakan peralatan penting untuk bomba dan harus digantikan segera,” katanya pada sidang media di Taiping, Perak, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 97 jentera bomba bernilai RM165 juta di seluruh tidak berfungsi akibat kerosakan pada putaran rotor di bahagian batang pemanduan dan sistem sadap kuasa.

Menurut laporan itu, jentera yang dibeli pada 2007, 2010 dan 2014 itu tersadai dipercayai berpunca daripada kegagalan pembekal menyediakan reka bentuk dan pemasangan peralatan mengikut spesifikasi sepatutnya.

Jentera yang tersadai itu kini berada di bengkel kejuruteraan JBPM di seluruh negara dan bagi kawasan Lembah Klang, kebanyakan jentera itu boleh berada di Seksyen 15 Shah Alam, Serdang dan Salak Tinggi.

Laporan itu turut mendakwa sejak 2007, sebuah syarikat pembekal tempatan yang dikaitkan dengan tokoh politik negara dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana diberi kontrak melalui rundingan terus untuk membekalkan jentera berkenaan kepada JBPM.

Zuraida berkata, siasatan dalaman akan dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan laporan itu sahih dan pihaknya tidak teragak-agak melaporkan kepada pihak berkuasa, jika ia didapati benar.

“Secara keseluruhan, kenderaan JBPM masih berfungsi dengan baik, walaupun saya ada juga terima aduan mengenai jentera yang kurang baik dan harus dilihat. Untuk peruntukan tahun depan, saya sudah luluskan permintaan bomba.”