Putrajaya mahu rundingan fasa ke-2 isu air dengan Singapura

Malaysia dan Singapura dilaporkan bersetuju menyelesaikan isu air secara damai, termasuk menerusi timbang tara. (Gambar AFP)

JOHOR BAHRU: Malaysia berharap Singapura bersetuju mengadakan rundingan fasa ke-2 Perjanjian Air 1962 yang membabitkan modaliti harga, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Beliau menyifatkan fasa berikut ialah “fasa agak sukar” dan Singapura tidak menolak untuk membincangkannya (modaliti harga), tetapi ia adalah perkara yang “rumit”.

“Bagi kita (Malaysia), kita kini memasuki fasa ke-2 perundingan di mana kita sepatutnya membincangkan modaliti harga. Untuk berlaku adil kepada rakan saya dari Singapura, saya fikir pendirian mereka tidak berubah.

“Saya fikir mereka akan mendapati sukar untuk menerima kita kini sudahpun memasuki fasa ke-2 perundingan,” katanya selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Isu Global di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai keberkesanan proses timbang tara kerana Malaysia dan Singapura sedang mempertimbangkan timbang tara sebagai cara untuk menyelesaikan isu air yang lama tertangguh.