Remaja maut terjatuh tingkat 7 PPR

Seorang remaja 15 tahun terjatuh dari tingkat 7 PPR, Kota Damansara, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 15 tahun yang demam sejak 3 hari lepas, maut selepas terjatuh dari tingkat 7 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, semalam.

Dalam kejadian 7 petang itu, mangsa Khorilsyahrulnizam Che Norizam mengadu pening kepala kepada bapanya yang baru pulang dari tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din berkata bapa mangsa, Che Norizam Epon, 48, kemudian meminta anaknya tidur sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.

“Menyedari kejadian itu, bapa mangsa segera turun dan mendapati anaknya cedera parah di kepala serta badannya berlumuran darah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes ini,” katanya.

Rakaman berdurasi 18 saat memaparkan mangsa yang hanya berseluar jeans berada di aras bawah PPR itu tular di laman sosial semalam.