Sanggup jual motor hanya untuk bantu adik Ainul Mardhiah

Ainul Mardhiah yang menderita kanser mulut sejak dilahirkan memerlukan kos perubatan yang tinggi dan tindakan lelaki jual motornya untuk membantu adalah satu perbuatan mulia. (Gambar FB Khairul Nizam Yacob)

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan berita seorang kanak-kanak yang menghidap ketumbuhan di bahagian mulut.

Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang lahir pada 13 Ogos 2018 dilahirkan sebagai bayi pramatang atau tidak cukup bulan.

Sejurus selepas dilahirkan, Ainul Mardhiah terus dihantar ke Wad Kecemasan kerana doktor mendapati ada ketumbuhan di dalam mulutnya.

Sejak itu, Ainul Mardhiah sudah menjalani pembedahan seawal usia 10 hari dan selepas 3 bulan pembedahan tersebut ketumbuhan itu keluar sekali lagi dan doktor mengesahkan ketumbuhan itu adalah kans3r.

Selain itu Ainul disarankan menjalani rawatan kimoterapi seawal usia 4 bulan dengan berat hanya 2.2 kilogram.

Bapanya, Ahmad Safiuddin melalui akaun Facebooknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan Ainul dan tidak kurang juga yang sudi menghulurkan bantuan dari segi kewangan.

Masalah dan keperitan yang ditanggung keluarga Ainul Mardhiah ini turut mendapat perhatian seorang lelaki dan melalui akaun Facebooknya, Khairul Nizam Yacob mengiklankan sebuah motosikal miliknya untuk dijual demi membantu adik Ainul dan meringankan beban keluarganya.

Motosikal model skuter NVX jenama Yamaha itu disertakan dengan gambar dan kondisi masih berada dalam keadaan baik.

Khairul juga menyatakan harga motosikal itu ialah RM6,000 dan motosikal itu juga lengkap dengan semua dokumen dan urusan pertukaran hak milik boleh terus dibuat sejurus pembayaran terus ke akaun ayah Ainul Mardhiah yang tertera di iklannya itu.

Usaha Khairul itu mendapat pujian netizen dan tindakannya itu perlu dijadikan contoh positif agar lebih ramai lagi rakyat di negara ini prihatin dengan isu-isu semasa yang berlaku di sekitar kita.

Perkongsian dari FB Khairul Nizam Yacob

Assalammualaikum, saya disini ingin melepaskan motor skuter NVX saya. Demi membantu adik kita ainul mardhiah dengan harga rm6000(enam ribu rggt sahaja) Enjin moto tiada masalah.

Boleh jalan dan dah boleh tukar nama. (Nama saya)harap ada sesiapa yg dapat membantu. Motor asal nk buat autoshow. Motor dlm keadaan tak kemas dan harus perkemaskan dan terima seadanye. Motor seperti didalam gambar. Tengok dalam fb saya motor dalam keadaan macam mana.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]