Tak bijak tukar nama Permata kepada ‘Genius’, kata MCA

Wee Ka Siong.

PETALING JAYA: MCA hari ini membidas Pakatan Harapan kerana “terlalu taksub” menukar nama program atau dasar yang dibuat kerajaan lepas, selepas Program Permata Negara ditukar nama kepada “Genius”.

Presiden Wee Ka Siong berkata keputusan PH menukar nama program pembangunan kanak-kanak yang dicetuskan oleh isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor itu dilihat tidak dibuat secara teliti.

Beliau menjelaskan penjenamaan semula ada implikasi kewangan, termasuk pakaian pelajar dan papan tanda.

“Eh, bukankah kerajaan PH sekarang sedang berjimat cermat?” katanya di Facebook.

Semalam, Berita Harian memetik Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebagai berkata jemaah menteri membuat keputusan menjenamakan semula program itu untuk menjadikannya lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi.

Bagaimanapun, fungsi dan peranannya masih sama.

Tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pentadbiran PH tidak akan memansuhkan program itu kerana ia berkaitan dengan pembangunan kanak-kanak dan kegiatan kebajikan.

Sejak mengambil alih Putrajaya pada 9 Mei, beberapa inisiatif yang dilaksanakan Barisan Nasional dijenamakan semula.

Antaranya Bantuan Sara Hidup (BSH), dahulunya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), manakala Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) kini dikenali sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).