Tak tahu bank diserbu selepas pasukan petugas ditubuh, kata pegawai BNM

Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur ketika perbicaraan berkaitan SRC International bersambung.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Bank Negara Malaysia hari ini memberitahu mahkamah bahawa dia tidak sedar pencarian dokumen di sebuah bank dilakukan selepas penubuhan pasukan petugas susulan laporan mengenai RM2.6 bilion ditemui dalam akaun peribadi bekas perdana menteri, Najib Razak.

Azizul Adzani Abdul Ghafar daripada Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan berkata, dia hanya diminta pegawai penyiasat Ahmad Farhan Sarifuddin untuk mencari dokumen di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan.

“Saya tidak tahu pencarian dan serbuan dilakukan susulan penubuhan pasukan petugas itu,” katanya ketika disoal peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Peguam bagaimanapun berkata dia sepatutnya sedar kerana terdapat liputan media meluas tentang penubuhan pasukan petugas itu, yang terdiri daripada wakil-wakil BNM, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

Pasukan petugas itu ditubuhkan pada Julai 2015 selepas media antarabangsa melaporkan wang ditemui dalam akaun peribadi Najib.

Azizul, yang pergi ke bank itu bersama 3 pegawai lain pada pagi 6 Julai 2015 berkata, dia menjalankan pencarian bawah Bahagian 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Ketika disoal semalam, beliau memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia memperoleh 8 fail lipat, termasuk maklumat mengenai 4 akaun yang dibuka di bank itu atas nama bekas perdana menteri.

Azizul menerima fail-fail lipat itu daripada pengurus bank cawangan, R Uma Dewi, tanpa menjalankan pencarian.

Beliau kemudian dapat tahu satu lagi pasukan BNM menjalankan serbuan ke atas jabatan-jabatan lain di bank itu pada hari yang sama.

Azizul berada di bank itu dari 9 pagi hingga 9 malam kerana Uma Dwei memberikan lebih banyak dokumen pada malamnya.

“Saya tahu tentang serbuan ke atas jabatan lain selepas Farhan memaklumkan pada saya mengenainya,” katanya.

Disoal lebih lanjut oleh Harvinderjit, Azizul berkata dia berada di bank itu sehingga lewat malam atas kemahuan sendiri.

Beliau menolak cadangan peguam bahawa dia berada di situ untuk kerja-kerja pengawasan.

Najib, 66, didakwa atas 3 tuduhan pecah amanah, 1 tuduhan salah guna kedudukan dan 3 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015.

Perbicaraan di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan.