Undian kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bermula esok

Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. (Gambar fam.org. my)

Esok undian pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bakal berlangsung di AFC Club House untuk menentukan lawan yang bakal dihadapi oleh skuad Harimau Malaya.

Malaysia yang berada di kedudukan ranking FIFA 168 dunia terpaksa bermain di pusingan pertama bersama 11 lagi pasukan lain yang mempunyai kedudukan ranking terendah di Asia.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu berada dalam pot 1 bersama Kemboja, Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia manakala pot 2 menempatkan Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Menurut jadual rasmi perlawanan yang dikeluarkan, skuad Harimau Malaya akan beraksi di tempat sendiri pada 6 Jun, kemudian bertandang ke gelanggang lawan pada 11 Jun bagi memburu slot ke pusingan kedua.

Di pusingan kedua, 40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking 1 hingg 34 asia serta 6 pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada 8 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 5 pasukan.

Hanya juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara yang terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023. Manakala baki pasukan yang lain akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Namun begitu, pemain yang terpilih mewakili negara nanti terpaksa mengorbankan cuti mereka bersama keluarga kerana tarikh perlawanan pusingan pertama bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kedua.

Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Hari Raya pada 5 Jun, iaitu sehari sebelum skuad kebangsaan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selain itu, skuad negara akan berdepan cabaran berlatih pada bulan puasa dan perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membawa bekalan gol yang selesa ke tempat lawan.

Memandangkan perlawanan berlangsung pada Hari Raya, jumlah kehadiran penyokong ke stadium mungkin berkurangan kerana kebanyakan mereka akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sumber semuanyabola.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]