Usahasama pastikan syarikat China komited pada kemapanan ECRL, kata timbalan menteri

Ong Kian Ming.

KUALA LUMPUR: Malaysia memilih syarikat usahasama untuk mengendali dan menyelenggara Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kerana ia memastikan ketelusan yang leih baik dalam projek itu, kata Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Ong Kian Ming.

Bercakap pada satu forum hari ini, Ong berkata kerajaan mahukan tahap ketelusan yang lebih tinggi dalam projek-projek Inisiatif Belt and Road (BRI).

Tahap ketelusan lebih tinggi, katanya, akan memberi manfaat kepada semua pemegang taruh kerana ia mengurangkan tindak balas terhadap China dan syarikat-syarikat China sekiranya sesebuah projek itu tidak berjaya dan juga membolehkan Putrajaya meletakkan mekanisme lebih baik bagi memastikan kemapanan kewangan projek-projek itu.

Atas sebab itu, katanya, kerajaan Pakatan Harapan mengusahakan suatu model usahasama pengendalian dan penyelenggaraan dalam perjanjian ECRL yang dirundingkan semula itu.

“Pada masa lalu apa yang kami lihat adalah banyak projek-projek ini adalah projek ‘turnkey’, dan isu-isu kemapanan kewangan tidak menjadi tumpuan utama kontraktor turnkey.”

Dalam projek ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) adalah kontraktor utama. Dalam perjanjian yang dirundingkan semula itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC akan menubuhkan sebuah syarikat usahasama untuk mengendalikan dan menyelenggara laluan kereta api sepanjang 640km.

Dalam model usahasama itu, Ong berkata, kontraktor bukan lagi kontraktor turnkey tetapi menjadi perkara yang mesti sebagai pengendali bersama, bermakna harus memastikan kemapanan kewangan projek itu dalam tempoh jangka masa panjang.

“Saya fikir inilah sumbangan Malaysia kepada suatu model pembiayaan projek-projek BRI dan saya fikir ramai orang akan melihat model ini sebagai sesuatu yang perlu diikuti,” katanya pada forum “PM Revisits China: Expectations & Opportunities”.

Mengulas isu berbeza, Ong berkata masih terlalu awal untuk menyimpulkan trend penurunan angka import baru-baru ini.

Beliau berkata angka perdagangan pada Februari menunjukkan keperlahanan tahun ke tahun kerana perbezaan antara Februari tahun ini dan tahun lepas adalah Tahun Baru Cina jatuh pada hari Selasa dan Rabu, berbanding pada 2018 apabila sambutan itu jatuh pada Jumaat dan Sabtu.

“Sepanjang minggu, banyak kilang tutup dan mengurangkan produktiviti. Kita akan tunggu dan lihat angka-angka bagi Mac dan April,” katanya pada sidang media.

Pada Februari, import jatuh sebanyak 9.4% kepada RM55.5 bilion, yang terendah sejak Mei 2016.

Beliau berkata kementerian ambil maklum peningkatan dalam aktiviti perkilangan di China seperti yang ditunjukkan Purchasing Managers’ Index, dan menambah perkembangan itu bagus untuk perdagangan Malaysia dengan China.

Beliau berkata Malaysia mengharapkan sokongan berterusan daripada China untuk produk-produk minyak sawit.

“Kami berharap dengan selesainya isu-isu yang dirundingkan sebelum ini, akan ada komitmen lebih tinggi di pihak kerajaan China untuk membeli lebih banyak minyak sawit.”