Akta tembakau ‘hangus’ tanpa azam politik, kata ahli Parlimen, aktivis

Larangan merokok di tempat awam, termasuk restoran mula dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

PETALING JAYA: Rancangan menyekat tabiat merokok dengan peraturan tembakau lebih ketat tidak akan berjaya kecuali kerajaan ada kemahuan politik menguatkuasakan undang-undang itu, kata 2 ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pihak terbabit dalam isu kesihatan awam.

Mereka juga memberi amaran undang-undang lebih ketat tidak bermakna jika masyarakat masih jahil terhadap bahaya merokok.

“Kita ada hukuman mati untuk pengedaran dadah, tetapi ia tidak menghentikan masalah itu,” kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dari DAP.

“Penyelesaian sebenar ialah pendidikan dan kesedaran yang merokok itu menjejaskan kesihatan dan membebankan sistem penjagaan kesihatan.

Putrajaya bercadang memperkenalkan undang-undang baru menjelang hujung tahun ini dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Rang Undang-undang Kawalan Tembakau yang baru untuk mengawal semua produk berkaitan tembakau dan rokok elektronik dijangka diperkenalkan hujung tahun ini.

Kerajaan PH sudah melaksanakan larangan merokok di tempat awam, termasuk restoran bermula 1 Januari lalu.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, ada banyak perkara boleh dilakukan, termasuk belajar daripada Singapura yang merupakan antara negara memiliki peraturan paling ketat di dunia untuk menyekat tabiat merokok di kalangan rakyatnya.

Beliau berkata, cukai tinggi antara 65% hingga 75% ke atas rokok dan produk tembakau seperti dicadangkan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia, akan memaksa perokok mengurangkan tabiat itu.

Tetapi, katanya, masih ada masalah penyeludupan dan ketirisan dalam penguatkuasaan.

“Untuk menjamin penguatkuasaan lebih baik, pegawai perlu dibayar gaji munasabah bagi menghalang mereka tutup mata terhadap kegiatan penyeludupan.”

Terdapat pelbagai bentuk rokok seludup dan ia jauh lebih murah daripada jenama sah di pasaran.

Aktivis kesihatan awam, Azrul Mohd Khalib berkata, undang-undang baru boleh menyelaras kedudukan dasar kerajaan dan keputusan ke atas kawalan tembakau.

“Ia juga dijangka dikemas kini untuk menjelaskan kekeliruan atau salah faham mengenai peralatan tembakau yang sepadan dengan definisi perundangan sekarang,” kata Azrul yang mengetuai Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.

Katanya, Putrajaya perlu tegas dalam sebarang keputusan ke arah menyekat tabiat merokok, termasuk menangani kelemahan dalam undang-undang tembakau sedia ada.

Beliau berkata, ia termasuk curut murah dan produk tembakau berteknologi pemanasan haba tanpa pembakaran yang memasuki pasaran.

Beliau merujuk pendedahan FMT baru-baru ini mengenai “curut mini” yang dijual di Malaysia Timur.

Syarikat tembakau, British American Tobacco Malaysia mempertahankan penjualan “curut mini” yang lebih murah dan mendakwa ia mematuhi undang-undang berkaitan produk bukan rokok.

Bekas menteri kesihatan, Dr S Subramaniam bersetuju produk merokok yang tidak berada dalam definisi tembakau patut dimasukkan dalam RUU itu.

“Dalam perbincangan kita (dulu), kita mengenal pasti isu ini kerana membiarkan kumpulan ini tanpa dikawal selia akan menyukarkan pelaksanaan peruntukan di bawah Akta Kawalan Tembakau,” kata Subramaniam yang berusaha menyekat penjualan rokok elektronik sebelum ini, dibantah penjual vape dan ahli politik.