Amnesty gesa Putrajaya hukum pengusir warga Mesir

Tahanan diletakkan dalam kandang kaca kalis bunyi semasa perbicaraan di mahkamah Mesir. Penyelidikan Amnesty International mendapati rakyat Mesir berisiko mengalami penyeksaan jika mereka kelihatan hilang setelah ditangkap. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Amnesty International menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pegawai yang membuat keputusan mengusir 6 warga Mesir awal bulan lepas, di mana 4 daripadanya dikatakan hilang selepas tiba di negara asal.

Housein Baoumi, penyelidik Amnesty untuk Mesir, berkata jika Putaraja mempunyai keprihatinan terhadap hak asasi manusia, ia harus menjalankan siasatan untuk mendedahkan identiti mereka yang terlibat dalam membuat keputusan itu dan mengarahkan mereka bertanggungjawab.

Dalam e-mel kepada FMT, beliau mengulangi kebimbangan yang dibuat beberapa pihak bahawa lelaki itu berisiko diseksa oleh pihak berkuasa Mesir dan kemudiannya menjalani perbicaraan tidak adil yang berakhir dengan hukuman mati.

Keempat-empat individu itu ialah Abdallah Mahmoud Hisham, Abdelrahman Abdelaziz Ahmed, Azmy al-Sayed Mohamed dan Mohamed Fathy Eid.

Pihak berkuasa Mesir tidak mengesahkan ketibaan mereka di Kaherah, tetapi Baoumi berkata mereka biasanya tidak membuat pengumuman seperti itu dalam mana-mana kes.

“Pihak berkuasa bertindak balas terhadap pertanyaan oleh ahli keluarga dan peguam dengan menafikan pengetahuan tentang mereka,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan rakyat Mesir tidak menyedari kehilangan mereka kerana sekatan keras yang dikenakan ke atas media negara itu.

Beliau berkata Amnesty melalui penyelidikannya mengenai Mesir mendapati rakyat negara itu berisiko tinggi mengalami penyeksaan jika mereka kelihatan hilang selepas ditangkap.

Amnesty mendokumentasikan pelbagai teknik penyeksaan yang digunakan di Mesir untuk memaksa individu membuat pengakuan yang akan digunakan di mahkamah sebagai bukti bersalah.

Baoumi berkata kehilangan paksa adalah perkara biasa di Mesir dan beliau memberi contoh kes jurutera pertanian Mohamed Abdelhafez, yang dijatuhi hukuman mati pada 2017 selepas dihantar pulang dari Turki Januari lalu.

Abdelhafez dibawa ke mahkamah Kaherah pada awal Mac dan didakwa kelihatan seperti individu yang diseksa. Seorang peguam memberitahu keluarganya, dia tidak dapat mendengar atau melihat dengan jelas.

Menurut Baoumi, Abdelhafez memberitahu mahkamah, “Saya akan mengakui apa sahaja yang anda mahu saya mengaku.”

Pengusiran dari Malaysia dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa serta presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun mempertahankan tindakan itu, mengatakan individu terbabit dipercayai anggota parti Ikhwan Muslimin yang diharamkan, yang mengancam keselamatan negara.

Jodie Harris, isteri Abdallah Mahmoud Hisham, memberitahu FMT baru-baru ini bahawa dia tidak menerima apa-apa berita mengenai suaminya dan pihak berkuasa Malaysia tidak memberikan apa-apa maklumat.

“Kami harap Malaysia akan bertanya Mesir di mana mereka berada dan meminta pembebasan mereka,” katanya.