PAS tak tanding PRK Sandakan

Takiyuddin Hassan berkata, PAS berharap calon pembangkang akan memenangi PRK Sandakan untuk memastikan semak dan imbang lebih berkesan di Parlimen.

PETALING JAYA: PAS tidak akan menurunkan calon pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini, tetapi akan menyokong calon daripada parti pembangkang yang akan bertanding menentang Pakatan Harapan.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, PAS Sabah dan Sandakan akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat untuk membantu calon pembangkang.

Katanya, PAS berharap calon pembangkang akan memenangi PRK Sandakan untuk memastikan semak dan imbang lebih berkesan di Parlimen.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandangnya, Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Wong yang juga pengerusi DAP Sabah memenangi pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti 10,098 undi, mengalahkan calon BN, Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.

DAP dikatakan mungkin menurunkan anak perempuan bongsu Wong, Vivian bagi PRK Sandakan.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin sebelum ini dilaporkan berkata, Umno tidak akan menurunkan calon, tetapi bersedia membantu calon pembangkang yang berhasrat bertanding.

Ahad lalu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, BN akan mengadakan rundingan dalam minggu ini untuk memutuskan sama ada ia akan menurunkan calon kerana kerusi itu diwakili parti komponen Sabah, iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) sebelum ini, tetapi ia sudah meninggalkan BN.

Penamaan calon bagi PRK Sandakan akan diadakan pada 27 April ini.