Penduduk PPR minta kuil baru jika DBKL roboh kuil lama

Kuil Om Sri Vall Muni yang terletak di PPR Kampung Baru Air Panas, Setapak.

KUALA LUMPUR: Penduduk flat kos rendah di Setapak menggesa pihak berkuasa menyediakan lokasi baru kuil selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang merobohkan kuil berusia 11 tahun yang terletak di kawasan perumahan mereka.

Menurut penyelaras Hindraf, P Sivalingam, kuil Om Sri Vall Muni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas dijangka dirobohkan hari ini. Bagaimanapun, rancangan itu kemudiannya ditangguhkan.

“Kami tidak tahu bila ia akan berlaku, tetapi jika mereka merobohkan kuil itu, di mana orang ramai akan sembahyang?

“Ia bukan hanya tempat bagi kaum India. Penduduk China juga datang ke sini untuk bersembahyang,” katanya kepada wartawan hari ini.

Pada 2011, katanya, DBKL berjanji menyediakan lokasi untuk kuil baru. Bagaimanapun, tidak ada berita mengenainya sejak itu.

Koordinator Hindraf, P Sivalingam berkata DBKL menjanjikan lokasi baru kuil kepada penduduk.

“Macamana kami secara tiba-tiba mendapat notis dari pejabat tanah yang memaklumkan kepada kami untuk membersihkan tempat ini tanpa ia digantikan dengan kuil baru?”

Beliau berkata kuil itu dibina menggunakan sumbangan yang dikutip oleh penduduk. Pada masa itu, katanya, mereka diberitahu bahawa tanah itu milik kerajaan.

Bagaimanapun, mereka baru-baru ini mendapat tahu separuh daripada tanah itu dijual kepada pemaju dan kuil tersebut perlu dirobohkan untuk membuat jalan ke bangunan tinggi.

Seorang penduduk, Antharaj Periasamy yang mengetuai jawatankuasa kuil itu berkata tidak adil untuk merobohkan tempat ibadat penduduk.

Beliau berkata lokasi kuil dalam kawasan perumahan PPR adalah sesuai dan mudah untuk diakses penduduk.

Antharaj Periasamy yang mengetuai jawatankuasa kuil.

“Kami tidak tahu bila kerajaan menjual tanah itu kepada pemaju.

“Sekarang kami sedang menunggu notis selanjutnya dari DBKL,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kapila Andrew, mendesak kerajaan mencari jalan penyelesaian.

“Ini tidak ada kaitan dengan DBKL. Kami mahu bincangkannya dengan pemaju, dan bertanya sama ada mereka akan membina kuil baru untuk kami.”

Beliau berkata lokasi yang sesuai untuk kuil baru akan terletak berhampiran kawasan perumahan, kira-kira 50 meter jaraknya. Bagaimanapun, tanah di sebelah PPR adalah milik persendirian.

Kapila berkata jawatankuasa kuil berharap Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dapat campur tangan dalam perkara itu.