PH bincang PRK Sandakan minggu depan, kata Anwar

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijangka diadakan minggu depan akan membincangkan persiapan gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya kecil Sandakan pada 11 Mei depan.

“Mengikut jadual, mungkin (mesyuarat diadakan) minggu depan. Keputusannya adalah DAP (bertanding di kerusi itu),” katanya selepas menghadiri Siri Dialog Digital DNA 23 di sini, hari ini.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya yang juga Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada PRU14, Wong memenangi kerusi itu selepas mendapat 19,094 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional, Lim Ming Ho dengan majoriti 10,098 undi.

Wong menyandang kerusi Parlimen itu sejak 2013 dan dilantik sebagai menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Sementara itu, Anwar menyifatkan keputusan Putrajaya menyambung semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) baik untuk hubungan Malaysia-China.

Katanya, Malaysia sentiasa mempunyai hubungan baik dengan China dan penting untuk pelaburan dan perdagangan dua hala diteruskan.

“Secara amnya kerajaan berpuas hati. Lawatan pertama ke China adalah positif.”

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau sedang menunggu laporan daripada PH Negeri Sembilan mengenai bedah siasat ke atas keputusan PRK Rantau yang dimenangi Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan.