Selesai inkues baru fail afidavit Adib dipukul atau tidak, kata peguam

Muhammad Adib Mohd Kassim parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lepas.

SHAH ALAM: Afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara yang mengatakan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim bukan akibat dipukul tidak sepatutnya dilakukan, kata peguam yang mewakili anggota bomba itu.

Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata sepatutnya afidavit difailkan selepas inkues kematian Adib selesai.

“Saya tak baca lagi afidavit itu dan tak pasti apa kandungannya.

“Sekarang ini memandangkan keputusan belum dikeluarkan, sepatutnya tak boleh,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas inkues Adib bersama saksi ke-29 semalam.

Inkues kematian Adib masih belum selesai dan akan bersambung hari ini.

Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner menolak permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Adib.

Peguam, M Visvanathan, yang mewakili jawatankuasa itu berkata, anak guamnya menarik balik rayuan itu berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April.

Beliau berkata, afidavit itu, yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang.

Afidavit itu turut menyatakan pakar patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa kecederaan yang dialami Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan kecederaan akibat dipukul.

Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada 27 Nov lepas.

Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.