Setiap batalion PGA akan ada unit Tiger Platoon

Setiap batalion Pasukan Gerakan Am akan dilengkapi unit Tiger Platoon. Pasukan elit itu digerakkan ke kuil Seafield bagi memastikan keamanan selepas perusuh merosakkan kompleks One City pada November tahun lepas.

LAHAD DATU: Setiap Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) kecuali Batalion 19 PGA akan dilengkapkan dengan 1 Unit Tiger Platoon, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani.

Katanya, pewujudan unit di setiap batalion itu bertujuan bagi memperkasakan peranan dan tanggungjawab PGA selari dengan trend ancaman keselamatan yang dihadapi negara ketika ini.

“Unit Tiger Platoon ini unit yang dilatih khas oleh pasukan gerak khas daripada Skuadron VAT 69 serta Unit Tindak Khas dan gabungan kedua-dua pasukan elit ini membawa kepada satu silibus yang akan memastikan PGA akan sentiasa bersiap sedia berhadapan sebarang cabaran dan ancaman pada bila-bila masa.

“Misalnya ancaman di perairan Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) berkaitan jenayah rentas sempadan merangkumi penyeludupan, penyusupan termasuk kemasukan perkara yang boleh mengancam kepada keharmonian penduduk di Sabah dan amnya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan kursus asas Tiger Platoon siri 4/2019 Briged Sabah serta pelancaran logo Tiger Platoon PGA hari ini.

Hadir pada majlis itu Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Hazani Ghazali.

Bagi perancangan masa hadapan dan memastikan PGA sentiasa kekal relevan, Acryl berkata konsep latihan serta penugasan Unit Tiger Platoon akan diperluaskan kepada platun infantri PGA supaya keseluruhan infantri PGA menjadi terlatih seperti unit tersebut.

Tiger Platoon merupakan platun tempur khas PGGA yang keanggotaannya dipilih dalam kalangan pegawai dan anggota infantri biasa PGA.

Mereka yang terpilih dilatih dengan kemahiran peperangan khusus bagi menangani ancaman keganasan dan pemberontakan, serta mengekang aktiviti jenayah yang merentas sempadan.

Pada majlis hari ini, seramai seorang pegawai serta 36 anggota tamat kursus asas Tiger Platoon Siri 4/2019 Briged Sabah di Batalion 17 PGA Lahad Datu.