Uji kaji patung tunjuk Adib mungkin dihentak pintu van, kata pakar forensik

Shahrom Abd Wahid menolak teori pakar forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi, kecederaan pada dada Adib disebabkan beliau terjatuh dan terhentak bahu jalan.

SHAH ALAM: Seorang pakar forensik memberitahu inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, uji kajinya menggunakan patung yang ditolak ke pintu depan kiri van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) menghasilkan corak “kecederaan” mirip pada dada kanan anggota bomba itu.

Susulan uji kaji itu, bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abd Wahid tampil dengan teori, Adib ditarik keluar dari van EMRS dan dada kanannya terkena pintu depan kenderaan itu yang ditendang seseorang.

“Kita hentak pintu pada patung dan pada masa sama, patung itu ditarik keluar dari EMRS. Jadi, kita dapat corak sedemikian rupa yang berlaku pada dada kanan Adib.

“Corak ini lebih mirip dan boleh dihasilkan semula, walaupun tidak sempurna. Juga, ia boleh andaikan seseorang menariknya keluar dan pintu EMRS ditendang,” katanya di depan Koroner, Rofiah Mohamad sewaktu menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada hari ke-28 inkues itu.

Shahrom bagaimanapun menolak teori pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang kecederaan pada dada Adib disebabkan beliau terjatuh dan terhentak bahu jalan.

“Saya juga cari objek lain yang boleh kena tubuh mangsa hingga menyebabkan kecederaan, saya tengok tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada yang bersesuaian dengan tombol getah.

“Daripada lakonan semula yang dilakukan polis, bahu jalan juga tidak sesuai. Kita ambil gambar juga tidak sesuai dan tidak padan langsung.”

Bagi membuktikan teorinya, Shahrom menunjukkan rakaman video kepada Mahkamah Koroner bagi menyanggah lakonan semula dilakukan polis berdasarkan keterangan Hafizam.

Sebelum ini, Hafizam ketika memberi keterangan kepada inkues itu berkata, Adib dihentak pintu van yang berundur akibat dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT) semasa rusuhan berlaku di depan Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.