22 kes baru selsema H1N1 dikesan di STAR, Ipoh

Seramai 102 orang di STAR, Ipoh, termasuk seorang guru, dilaporkan mempunyai jangkitan saluran pernafasan seperti demam, sakit tekak dan batuk. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Sebanyak 22 kes baru disyaki Influenza A (H1N1) dikesan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Ini menjadikan jumlah kumulatif dilaporkan di sekolah tersebut seramai 102 orang, termasuk seorang guru yang mempunyai jangkitan saluran pernafasan seperti demam, sakit tekak dan batuk, katanya.

Menurutnya, terdapat seorang lagi murid STAR dimasukkan ke hospital swasta ketika ini dan masih menunggu keputusan makmal. Keadaan pelajar itu dilaporkan stabil.

“Seramai 51 pelajar lagi masih diasingkan di asrama sekolah dan pemantauan ke atas mereka diteruskan,” katanya selepas melancarkan Bulan Pemakanan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan 4 sampel daripada 79 pelajar yang dikesan mengalami kluster demam dan batuk di STAR disahkan positif Influenza A H1N1.

Sebelum ini, tular dalam media sosial berhubung dakwaan wujud “penyakit misteri” yang mengancam pelajar sekolah berkenaan.

Dzulkefly berkata, pihaknya turut memberi pendidikan kesihatan, termasuk etika batuk serta meneruskan pemantauan ke atas semua warga sekolah.

“Aktiviti disinfeksi persekitaran asrama dilakukan sejak Isnin lalu. ‘Active case detection’ (pengesanan kes secara aktif) diteruskan setiap hari sehingga tamat wabak,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak khuatir kerana keadaan terkawal di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Perak.