24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang digantung kerja, kata ketua pengarah

24 pegawai JPJ tersebut direman selama 7 hari bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Seramai 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pulau Pinang akan digantung kerja 2 bulan selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan rasuah.

Ketua Pengarah JPJ, Shaharuddin Khalid berkata, ia adalah sebahagian tindakan yang akan diambil mengikut Peraturan 43, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Kita (JPJ) ambil tindakan ini kerana kita tidak boleh lakukan siasatan dalaman sebab SPRM sudah jalankan siasatan.

“Kita gantung kerja sebaik mereka dilepaskan daripada reman. Ia untuk tidak menganggu siasatan yang dijalankan SPRM. Bagaimanapun gaji mereka tetap dibayar dalam waktu pergantungan kerja itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ, di sini, hari ini.

24 pegawai JPJ tersebut direman selama 7 hari bermula semalam.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret George Town, Nur Fadrina Zulkhairi, bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Selasa lalu, SPRM menahan 30 individu, termasuk 24 penguatkuasa JPJ, bersabit kes itu.

Menurut SPRM, 24 penguat kuasa tersebut, dari gred 19 hingga 32, dipercayai menerima dari RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan supaya tidak bertindak terhadap pemandu lori selain membocorkan maklumat operasi JPJ.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, JPJ tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketiadaan integriti dalam kalangan anggotanya.

Beliau berkata JPJ akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan yang dijalankan.

Shaharuddin memberi amaran kepada semua pegawai dan kakitangannya supaya meletakkan integriti JPJ di tahap paling tinggi.

“Kita mahu JPJ bersih daripada elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tiada integriti.

“Kita mahu JPJ terus cemerlang dan kutip hasil yang banyak untuk kerajaan,” katanya.

Shaharuddin juga berkata JPJ Pulau Pinang tidak lumpuh dengan penangkapan 24 penguat kuasa tersebut kerana masih mempunyai 457 anggota lain.

Katanya, operasi dan kerja agensi terus dijalankan di negeri itu dan akan meminta bantuan daripada JPJ Perak dan Kedah untuk menghantar penguat kuasa bagi membantu operasi di Pulau Pinang.

“Kita mahu JPJ zon utara bekerjasama dan pastikan JPJ Pulau Pinang terus kutip hasil paling tinggi untuk kerajaan,” katanya.