Jangan lagakan Orang Asli dengan orang Melayu, kata aktivis

Orang Asli di Kampung Tasik Cunex, Grik menunjuk perasaan terhadap kegiatan pembalakan.

PETALING JAYA: Seorang peguam yang memperjuangkan hak tanah Orang Asli menggesa orang ramai jangan menyebabkan permusuhan antara masyarakat pribumi dan orang Melayu dengan membandingkan dakwaan tentang penghuni asal negara ini.

Yogeswaran Subramanian, ahli jawatankuasa Badan Peguam mengenai hak-hak Orang Asli berkata, agenda mereka yang prihatin tentang layanan terhadap Orang Asli lebih mudah tercapai jika penyokong mereka tumpu kepada isu perlindungan hak.

“Dalam komen Facebook anda, jangan laga-lagakan Orang Asli dengan orang Melayu,” katanya. “Jangan selalu cakap meraka penghuni pertama kerana anda boleh menyebabkan sesetengah orang marah.”

Beliau berkata persoalan mengenai dakwaan pribumi tidak memberi kesan pada hak-hak Melayu. “Anda boleh cakap Orang Asli adalah pribumi dan dalam masa sama ada keistimewaan untuk orang Melayu. Perkara itu dibolehkan.”

Yogeswaran berkata demikian di satu forum mengenai hak tanah Orang Asli baru-baru ini.

Beliau berkata kepentingan Orang Asli terjejas jika kaum-kaum lain asyik mengatakan mereka lebih berhak daripada orang Melayu sebagai penghuni asal negara ini. “Anda mungkin menakutkan sesetengah pemimpin,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya bersuara mengenai keperluan mengiktiraf dan menghormati hak tanah Orang Asli yang semakin mendesak.

Oleh kerana masyarakat Orang Asli membentuk golongan minoriti, beliau berkata, “golongan majoriti” mesti menyeru hak-hak mereka dilindungi dan menjadikan perkara berkaitan Orang Asli isu arus perdana.

“Berikan hak kepada Orang Asli dalam konteks Malaysia, seperti mana kita dengan hak masing-masing,” katanya.

Beliau juga menyeru diskriminasi budaya terhadap Orang Asli dihentikan, dan mengambil maklum sesetengah orang Malaysia yang berniat baik juga pernah membuat kenyataan yang merendah-rendahkan Orang Asli.