Laporan: Gaji bagi graduan baru naik RM153

Permintaan pekerjaan dalam sektor jualan dan pemasaran, teknologi maklumat serta perakaunan dan pengauditan menduduki tangga 3 teratas sejak 2018.

PETALING JAYA: Platform pencarian pekerjaan dalam talian hari ini mendedahkan gaji bagi graduan baru meningkat sebanyak 6% atau purata RM153 tahun ini berbanding tahun lepas.

Menurut Laporan Gaji Jobstore 2018/2019, gaji purata bagi graduan baru dengan ijazah kepujian ialah RM2,635, berbanding RM2,482 tahun lepas.

Laporan itu berkata angka itu sama dengan angka dari data yang dikumpulkan hasil tinjauan gaji oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), baru-baru ini. Ia menunjukkan graduan baru dengan ijazah kepujian akan mendapat purata RM2,618 sebulan, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan tahun lepas.

Laporan itu juga menunjukkan majikan Malaysia akan mengupah lebih ramai pekerja pada 2019. Ia mengingatkan majikan untuk mengimbangi dalam memenuhi permintaan kakitangan mereka dari segi faedah dan terus menawarkannya untuk menarik dan mengekalkan bakat.

Dari segi permintaan pekerjaan, laporan itu menyebut pekerja dalam sektor jualan dan pemasaran, teknologi maklumat serta perakaunan dan pengauditan menduduki tangga 3 teratas sejak 2018.

Ia berkata jualan dan pemasaran menawarkan gaji tinggi sehingga RM40,000 bagi jawatan kanan dan RM15,000 untuk jawatan pengurusan pertengahan.

Pekerjaan lain dalam senarai teratas ialah khidmat pelanggan; makanan dan minuman, pelancongan, hospitaliti; seni, reka bentuk, hiburan; kejuruteraan; pembinaan dan hartanah; sumber manusia serta pengurusan perniagaan, projek dan perancangan.

Sektor pembinaan dan kejuruteraan juga menawarkan gaji yang tinggi sehingga RM30,000 bagi jawatan kanan manakala gaji pengurusan pertengahan antara RM3,000 hingga RM11,000, kata laporan itu.

Sementara itu, pengurusan perniagaan dan perancangan projek menawarkan gaji sehingga RM30,000 untuk jawatan kanan, manakala jawatan peringkat pertengahan lebih rendah dengan maksimum RM5,000, menurut laporan Jobstore.

Jobstore berkata tahun ini, sektor pembuatan, perkhidmatan serta perlombongan dan kuari dijangka berkembang di Malaysia.

Ia juga menunjukkan permintaan baru oleh majikan untuk pelbagai kemahiran atau “kemahiran hibrid”, yang sebahagian besarnya meliputi peranan tradisional dan teknologi. Ia berkata ini disebabkan oleh perubahan Malaysia menjadi ekonomi digital.

Jobstore juga menasihatkan majikan untuk “meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula” tenaga kerja mereka yang sedia ada, untuk mengisi jurang kemahiran dalam menyediakan pekerja pada masa depan.