NGO ‘terkejut’ kerajaan lulus projek 3 pulau di Pulau Pinang

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia, SM Mohamed Idris.

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menyifatkan kelulusan projek tambak laut 3 pulau di perairan Pulau Pinang sebagai “mengejutkan dan membimbangkan”.

Dua NGO terbabit yang diketuai oleh SM Mohamed Idris berkata, projek itu dibenarkan untuk diteruskan walaupun ia dibantah oleh kumpulan masyarakat sivil berhubung kesan alam sekitar, sosial dan kewangannya.

“Terlalu banyak kebimbangan yang dibangkitkan oleh warga prihatin dan NGO, malangnya kita tidak tahu bagaimana kebimbangan itu ditangani.

“Oleh sebab itu, kita mahu nasihat 18 perkara itu didedahkan kepada umum supaya masyarakat boleh memahami apakah syarat kelulusan yang ditetapkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (NPPC),” kata NGO terbabit.

NPPC yang dipengerusikan oleh perdana menteri, meluluskan projek 3 pulau tersebut dengan menetapkan nasihat 18 perkara kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ketua menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini memberitahu beliau akan mendedahkan nasihat 18 perkara itu esok.

Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang melibatkan kawasan seluas hampir 17 km persegi (4,200 ekar) dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23 km persegi yang akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Tanah yang ditebus guna itu menjadi hak kerajaan Pulau Pinang, tetapi akan dilelong kemudiannya kepada pembida tertinggi bagi membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

PTMP menyasarkan pembinaan beberapa lebuh raya, sistem rel transit aliran ringan (LRT) dn mod pengangkutan lain yang akan dibina dalam tempoh 20 ke 30 tahun akan datang.

Kerajaan Pulau Pinang membayangkan ia akan bermula dengan projek Lebuh Raya Pan Island Link (PIL 1) sepanjang 19.5km dan landasan LRT Komtar-Bayan Lepas sebelum projek lain.

Mohamed juga mempersoalkan harga PIL 1 yang tinggi, malah lebih tinggi daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula.

Beliau berkata, ECRL akan menelan kos RM68 juta setiap km, sementara PIL 1 berharga RM400 juta bagi setiap km.

“Kos yang sangat tinggi bagi Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang dan PTMP sebanyak RM46 bilion adalah amat besar dan tidak dapat diterangkan.

“Bagaimanakah kelulusan boleh diberikan dalam keadaan itu sangat membingungkan,” katanya.