PBB: Keganasan meningkat di Darfur selepas presiden Sudan diguling

Presiden Sudan, Omar al-Bashir digulingkan tentera selepas 30 tahun pemerintahan autokraik. (Gambar Reuters)

NEW YORK: Ketua misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Kesatuan Afrika di Darfur memaklumkan Majlis Keselamatan badan dunia itu semalam, keganasan meningkat di rantau itu selepas tentera Sudan menggulingkankan Presiden Omar al-Bashir, lapor agensi berita China Xinhua.

“Keselamatan di rantau Sudan Darfur yang tidak menentu merosot sejak pengambilalihan tentera minggu lalu di Khartoum,” kata Jeremiah Mamabolo, wakil khas bersama bagi Operasi Hibrid PBB-Kesatuan Afrika di Darfur (UNAMID).

Misi pengaman di Darfur “sentiasa berjaga-jaga” dalam mendepani keganasan yang semakin meningkat, katanya.

Mamabolo berkata seorang jeneral tentera diusir keluar dari pejabat susulan tunjuk perasaan berterusan, perintah berkurung harian kini ditarik balik dan tahanan politik dijangka dibebaskan, dengan gencatan senjata dilaksanakan di seluruh negara.

“Semalam, ketua hakim negara dan peguam negara digantikan,” katanya sambil menambah pemimpin tentera yang baru, Abdel-Fattah Al-Burhan, mengumumkan satu “fasa peralihan ketenteraan,” yang akan berlanjutan sehingga 2 tahun paling lama, sebelum kuasa diserah kepada kawalan awam.

Bagaimanapun tunjuk perasaan masih berterusan, katanya, dan menyatakan sesetengah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Darfur, di mana tindakan ketenteraan diambil oleh bekas presiden terhadap orang awam dan menyebabkan beliau berdepan pertuduhan melakukan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa sedekad lalu, “melakukan tindakan ganas” dengan menyasarkan lokasi kerajaan dan mereka yang dilihat sebagai kolaborator bekas rejim.

“Saya memberi jaminan kepada Majlis Keselamatan susulan semua perkembangan ini, UNAMID sentiasa berjaga-jaga dan mengekalkan sikap yang teguh, terutama di kawasan Jebel Marra di mana kita mempunyai anggota tentera pengaman,” katanya.