Pihak atasan arah padam gambar Wang Kelian, kata saksi

M Joeking (tengah).

PUTRAJAYA: Saksi ke-5 pendengaran awam mengenai penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa pihaknya diarah memadam gambar yang diambil di kawasan kem tersebut ketika operasi.

Komander Kompeni B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), DSP M Joeking berkata, arahan itu diberi Pegawai Pemerintah Batalion 3 Briged Utara PGA, Supt Wan Hamzah Wan Kadir beberapa bulan selepas penemuan kem tersebut.

Katanya, gambar yang diarah dipadamkan termasuk yang dalam simpanan peribadi anggota polis.

“Ada satu masa antara Mac dan April 2015 saya dapat arahan daripada pegawai pemerintah, siapa-siapa ada gambar berkaitan Wang Kelian minta dipadamkan.”

Beliau memaklumkan semua gambar berkenaan dipadam sebaik sahaja menerima arahan, dan hanya gambar yang tersimpan di ibu pejabat batalion disimpan.

Joeking berkata gambar-gambar itu diambil di tapak kem tersebut, termasuk pada 21 Januari 2015 iaitu ketika operasi memusnahkan kem itu dilakukan.

Negara digemparkan pada 2015 dengan penemuan 147 kubur, 130 rangka manusia dan 28 kem yang dikaitkan dengan kegiatan penyeludupan manusia di bukit Wang Burma, Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria, dan bekas ketua polis negara, Norian Mai selaku timbalannya.

Panel dianggotai bekas ketua pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Razali Ismail; bekas ketua penyelidik Jabatan Peguam Negara, Junaidah Abdul Rahman; bekas duta Malaysia ke Thailand, Nazirah Hussin; dan bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.