Timbalan pendakwa raya: Afidavit Mahkamah Rayuan tidak terpakai di Mahkamah Koroner

Hamdan Hamzah berkata prosiding antara Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Koroner merupakan perkara berbeza. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Afidavit saksi sewaktu inkues Muhammad Adib Mohd Kassim yang digunakan dalam Mahkamah Rayuan hanya bertujuan membalas afidavit dari pihak Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield, kata timbalan pendakwa raya.

Hamdan Hamzah menjelaskan perkara itu selepas dipertikaikan beberapa pihak, mengatakan afidavit yang digunakan semasa dalam siasatan terhadap punca kematian Muhammad Adib tidak akan menjejaskan keputusan Mahkamah Koroner.

“Itu hanyalah untuk prosiding, untuk kegunaan Mahkamah Rayuan bagi mereka putuskan sama ada perlu masuk ke dalam inkues atau tidak. Kalau mereka hendak masuk juga saya tidak boleh halang, afidavit itu hanya untuk balas afidavit yang mereka failkan.

“Keputusan terhadap inkues bukannya dilakukan oleh saya sebagai timbalan pendakwa raya, sebaliknya ia dilakukan hakim koroner. Jadi ia tidak akan ubah apa-apa pun,” katanya sewaktu ditemui di Mahkamah Shah Alam, semalam.

Hamdan berkata, prosiding antara Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Koroner merupakan perkara berbeza. Malah, hakim Koroner tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

“Ia tidak boleh terpakai. Hanya digunakan untuk Mahkamah Rayuan sahaja. Ia tidak boleh menyimpulkan apa-apa. Saya juga tidak boleh komen mengenai keputusan peguam mewakili kuil mengenai keputusan mereka.

“Orang boleh cakap macam-macam tetapi apa yang saya tahu itu adalah keterangan mahkamah. Kalau orang hendak tulis, apa yang saya boleh kata. Saya cuma ‘quote’ semula apa yang dikatakan pakar forensik sewaktu memberi keterangan di inkues,” katanya.

Semalam, peguam mewakili keluarga mangsa, Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mempersoalkan afidavit itu berkata, sepatutnya afidavit difailkan selepas inkues selesai, bukan dilakukan sekarang untuk menentukan Adib dipukul atau tidak.

Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonan mereka untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Muhammad Adib.

Peguam, M Visvanathan, mewakili jawatankuasa itu berkata, anak guamnya menarik balik rayuan berkenaan berdasarkan afidavit difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April.

Afidavit itu disahkan Hamdan yang menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang.

Afidavit itu turut menyatakan pakar patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa kecederaan yang dialami Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan kecederaan akibat dipukul.