Nancy, GPS bertegas mahu 6 perkataan dalam RUU

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri menolak dakwaan seorang menteri persekutuan mengatakan tidak perlu mempunyai frasa “menurut Perjanjian Malaysia 1963” (MA63) dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang tidak diluluskan Dewan Rakyat pada 9 April lalu.

Bercakap kepada FMT, katanya, beliau dan rakan-rakannya dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) percaya RUU kerajaan itu akan diluluskan, jika 6 perkataan itu dimasukkan.

Katanya, kemasukan perkataan itu akan menghidupkan semangat MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi Sabah serta Sarawak “peluang terbaik” mencapai aspirasi mereka.

Beliau tidak bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong yang rujukan terhadap MA63 dalam nota penjelasan sudah “memadai” dan sah.

“Satu seksyen penjelasan sekadar menjelaskan satu undang-undang dan bukannya undang-undang itu sendiri.”

Nancy pernah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara berkaitan undang-undang ketika Barisan Nasional masih berkuasa.

Minggu lalu, Liew berkata, beliau tidak faham kenapa GPS mahu perkataan itu dimasukkan, sedangkan mereka tidak hadir ketika RUU pindaan Perlembagaan yang diluluskan pada 1963, susulan pembentukan Malaysia, dibentangkan di Dewan Rakyat.

Liew dilaporkan berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas sudah menasihatkan tidak memasukkan perkataan itu bagi mengelakkan komplikasi.

Minggu lalu, Liew membidas ahli Parlimen GPS kerana bertegas mahu 6 perkataan itu dimasukkan dalam pindaan perlembagaan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak.

Nancy memberitahu FMT adalah “jelas” pindaan yang dicadangkan itu tergesa-gesa untuk memenuhi agenda politik Pakatan Harapan.

“Kami tidak pernah membantah hasrat untuk meminda Perlembagaan. Jadi, mengapa tergesa-gesa? Mengapa tidak memberi masa bagi AG Sarawak dan AG persekutuan membincangkan perkara itu?”

Beliau mendakwa PH tahu ia mungkin tidak mendapat majoriti 2/3 yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan.

Katanya, ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia RUU kerajaan tidak diluluskan dan munasabah untuk mengesyaki beberapa ahli parti pemerintah berniat melihat perdana menteri dimalukan.

Beliau berkata, GPS mahu Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak MA63 menyelesaikan perbincangannya dengan sewajarnya sebelum membentangkan RUU itu.

“Sekurang-kurangnya kita akan jelas mengenai langkah kerajaan persekutuan seterusnya.”

Katanya, beliau dan rakannya dalam GPS menentang RUU itu tanpa rasa bersalah kerana PH boleh membentangkan RUU baru dengan cara betul, sekiranya mereka ikhlas memberi status sama dengan Semenanjung, kepada Sarawak dan Sabah sebagai rakan persekutuan.