Peguam ragui keberkesanan syarat setia pada raja ke atas peniaga

SN Nair dan Latheefa Koya.

PETALING JAYA: Seorang peguam hari ini berkata kerajaan Pahang berhak mengenakan syarat ke atas lesen-lesen perniagaan, termasuk syarat menghendaki pengusaha taat setia kepada sultan.

SN Nair berkata keberkesanan langkah itu belum diketahui kerana kebiasaannya pengusaha perniagaan bukan golongan yang tidak menghormati raja-raja Melayu.

Terdahulu, Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihak berkuasa perlu memasukkan syarat baru itu sebelum meluluskan permohonaan lesen atau permit, menurut laporan New Straits Times.

“Saya tak pasti keberkesanan syarat seperti itu kerana mengikut sejarah, perniagaan tidak pernah jadi tumpuan kerana tidak menghormati raja-raja.

“Kebanyakannya individu-individu yang berbuat demikian dan Akta Hasutan akan digunakan terhadap mereka.

“Barangkali kerajaan Pahang punya sebab untuk keputusan itu. Bagus sekiranya kerajaan menjelaskan sebab-sebabnya kepada perniagaan untuk faham dengan lebih baik,” katanya.

Latheefa Koya pula berkata pengenaan syarat seperti itu bukan cara yang betul untuk menuntut kesetiaan dan menghormati raja-raja.

Beliau berkata langkah itu memberi gambaran hukuman perlu dikenakan agar rakyat menghormati raja-raja.

Di Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini, Rosdy berkata ikrar kesetiaan itu berkuatkuasa serta-merta dan termasuk pemegang lesen dan permit perniagaan sedia ada.

Kegagalan menunjukkan kesetiaan dan menghormati raja-raja akan menyebabkan lesen dan permit mereka dibatalkan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah baru-baru ini bimbang akan penghinaan terhadap institusi diraja dan Islam.