Pisah peranan peguam negara, pendakwa raya: Pandangan pegawai kehakiman, undang-undang ditinjau

Cadangan pemisahan peranan peguam negara dengan pendakwa raya dibuat tahun lepas.

PUTRAJAYA: Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman an Perundangan (Jalsoa) berkata ia akan mendapatkan maklum balas daripada ahlinya berhubung cadangan memisahkan peranan peguam negara (AG) dengan pendakwa raya (PP).

Presiden Jalsoa Abdul Razak Musa berkata, borang tinjauan akan diedarkan kepada kira-kira 2,200 ahli dan dapatannya akan dikemukakan kepada satu jawatankuasa di bawah Jabatan Peguam Negara yang diwujudkan untuk mengkaji peranan AG dan PP.

“Ahli akan diberikan taklimat oleh ahli jawatankuasa, tetapi kami akan edarkan borang tinjauan bagi mendapatkan pandangan mereka kerana wujud beberapa implikasi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan persatuan itu di sini, hari ini.

“Pandangan ahli kami perlu diambil kira kerana satu kertas akan dibentangkan kepada Kabinet tahun depan.”

Seorang anggota jawatankuasa itu memberitahu FMT bahawa Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan selain 15 undang-undang persekutuan lain perlu dipinda bagi membolehkan pemisahan peranan itu berlaku.

“Ada sesetengah yang berpendapat kedua-dua peranan itu boleh dipegang oleh satu orang yang sama, tetapi AG mestilah seorang individu yang mempunyai watak dan personaliti yang kuat,” katanya, yang enggan dikenali.

Sebuah jawatankuasa, yang diwujudkan sebagai Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) dengan 5 anggota yang dipengerusikan oleh hakim bersara, KC Vohrah, mencadangkan pemisahan peranan itu kepada kerajaan pada Julai tahun lepas.

Ini susulan janji manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk memisahkan peranan AG dengan PP.

Dikatakan AG akan dilantik daripada kalangan ahli Parlimen yang layak dan merupakan seorang menteri yang juga berperanan sebagai penasihat undang-undang kerajaan.

Dalam pada itu, PP pula hendaklah merupakan individu yang bebas daripada kepentingan politik dan mempunyai autonomi untuk menjalankan pendakwaan.

Majlis Peguam, yang mewakili kepentingan lebih 18,000 peguam di semenanjung turut mengemukakan cadangannya kepada IRC untuk memisahkan peranan AG dan PP.

Bekas presidennya, George Varughese berkata, pada masa ini AG mempunyai 2 peranan yang berbeza dan terpisah di bawah Perlembagaan kerana beliau merupakan pendakwa raya dan pada masa yang sama berperanan sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan.

“Sebagai PP, AG dikehendaki bertindak bebas dan adil sebagai penjaga kepentingan awam, tanpa dipengaruhi oleh perkiraan politik.

“Dari masa ke masa beliau akan mendapati dirinya berada pada kedudukan konflik kepentingan yang sukar dan tidak dapat dielakkan apabila kepentingan klien beliau, iaitu kerajaan yang memerintah, tidak semestinya selari dengan kepentingan awam,” katanya.

Beliau menambah, pengalaman lampau menunjukkan keadaan sedemikian akan timbul apabila ahli politik didakwa kerana kesalahan jenayah.