PM persoal penarafan negatif atas bantuan kewangan kepada Felda

Putrajaya memperuntukkan RM6.23 bilion untuk membantu Felda dengan liabiliti keseluruhannya meningkat 12 kali ganda sejak 10 tahun lalu, daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertikaikan penarafan negatif Moody’s terhadap langkah Putrajaya memberi bantuan kewangan lebih RM6 bilion kepada Felda kerana agensi penarafan antarabangsa itu tidak bertindak demikian ketika Malaysia dibebani hutang.

“Apabila Malaysia memiliki hutang RM1 trilion, mereka tidak ada pula cakap untuk merendahkan kedudukan negara. Ini adalah sesuatu perkara yang pelik.

“Kerajaan yang ada kini sudah menyelamatkan banyak duit melalui penyelesaian menerusi projek ECRL, Felda, Tabung Haji dan sekarang ini Bandar Malaysia,” kata perdana menteri dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary, hari ini.

Katanya, agensi penarafan mempunyai kriteria tersendiri untuk melakukan penilaian, tetapi hakikatnya kerajaan terdahulu mempunyai hutang besar sehingga menyebabkan Malaysia mengalami defisit bertahun-tahun.

“Tetapi, mereka kekalkan penarafan itu. Kini, apabila kita cuba selesaikan masalah ini, kita diberitahu langkah kita salah pula.”

Pada 10 April lalu, Putrajaya mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda yang menanggung kerugian dan hutang sejak sedekad lalu, susulan kertas putih mengenai masalah kewangan dihadapi agensi itu.

Liabiliti keseluruhan agensi itu meningkat 12 kali ganda sejak 10 tahun lalu, daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017, menurut kertas putih dibentangkan di Parlimen yang menyatakan salah urus operasi, kegagalan pengurusan pelaburan dan integriti tahap rendah sebagai punca utama aliran tunai Felda rendah dan menjejaskan program pembangunannya.

Susulan pengumuman itu, Moody’s memberi amaran ia akan meningkatkan beban hutang kerajaan.

“Kami menganggarkan bantuan itu akan meningkatkan beban hutang kerajaan sebanyak 0.3% kepada 56% pada 2019, jauh lebih tinggi daripada nisbah hutang median untuk ‘A-rated sovereigns’ sebanyak 37.8% dan meningkat daripada 50.7% pada 2017.”