Projek Bandar Malaysia diteruskan semula, kata Dr Mahathir

Projek Bandar Malaysia dihentikan sejak Mei 2017.

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk meneruskan semula projek Bandar Malaysia, yang sebelum ini dihentikan sejak Mei 2017, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, keputusan meneruskan semula projek berkenaan dibuat selepas Putrajaya meneliti bahawa kerajaan turut mempunyai saham dalam syarikat pemaju projek berkenaan, bukan sepenuhnya milik China.

“Selepas kita lakukan siasatan, sebenarnya syarikat China hanya memiliki pegangan saham sebanyak 24%, selebihnya dimiliki syarikat Malaysia. Putrajaya pula memiliki pegangan saham sebanyak 40%.

“Disebabkan itu kita mahu kembalikan semula projek Bandar Malaysia. Kita mahu ia berjalan semula,” katanya dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary hari ini.

Dr Mahathir berkata, projek Bandar Malaysia akan memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dan menjadi hab global bagi menarik institusi kewangan antarabangsa, teknologi dan firma keusahawanan yang berimpak tinggi.

“Projek ini dijangka boleh menjana impak besar kepada pembangunan bandar Malaysia bagi menarik pelaburan langsung asing dan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM140 bilion.

“Tambahan pula, syarikat tenologi gergasi seperti Alibaba dan Huawei sudah menyatakan minat untuk membangunkan pusat ICT mereka,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, pembangunan Bandar Malaysia tidak sepenuhnya tertumpu kepada pembangunan untuk golongan berpendapatan tinggi, sebaliknya sebanyak 10,000 buah rumah mampu milik akan turut dibina.

“Putrajaya mengalu-alukan komitmen IWH-CREC membuat pembayaran pendahuluan RM500 juta sebagai bayaran deposit asal keseluruhan sebanyak RM741 juta, yang akan dibayar dalam masa 60 hari dari tempoh kerajaan meneruskan semula projek ini.

“Bandar Malaysia akan menjadi perintis dalam pembinaan bandar terancang dan menjadi sebuah pembangunan yang berorietntasikan transit (TOD).

“Ia akan mengoptimumkan jumlah ruang kediaman, perniagaan dan rekreasi. Bahkan turut menyumbang ke arah persekitaran yang lebih hijau,” katanya.

Keputusan meneruskan projek Bandar Malaysia dibuat seminggu selepas kerajaan mengumumkan akan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pada masa sama, Dr Mahathir turut mengulas mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru, selepas Richard Malanjum bersara wajib pada 12 April lalu.

“Nampaknya ada peruntukan yang perlu dilalui untuk melantik ketua hakim baru. Ia perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja Melayu, bukan sahaja Yang Di Pertuan Agong.

“Kita sudah maklumkan. Kita perlu memaklumkan juga kepada Raja-raja Melayu yang lain dan kita menunggu maklum balas dan pengesahan daripada mereka,” katanya.