Tak mungkin Adib keluar van ketika rusuhan, kata pakar forensik

Dr Shahrom Abd Wahid (kanan) berkata, anggota bomba yang terbabit dalam uji kajinya tidak berani melompat daripada tempat duduk depan di kiri van EMRS kerana ia lebih tinggi daripada kenderaan biasa.

SHAH ALAM: Seorang pakar forensik memberitahu inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba itu tidak mungkin keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) semasa rusuhan berlaku di depan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abd Wahid berkata, anggota bomba yang terbabit dalam uji kajinya juga tidak berani melompat daripada tempat duduk depan di kiri van EMRS yang lebih tinggi daripada kenderaan biasa, khasnya ketika rusuhan berlaku dan van itu berundur selepas dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Beliau menganggarkan van EMRS sedang berundur pada kelajuan 17km sejam, ketika jentera FRT di depan van itu diserang perusuh.

Oleh itu, beliau kekal dengan teorinya, Adib ditarik keluar seseorang di luar van EMRS ketika kenderaan itu berundur, dengan 2 atau lebih individu dianggarkan berada berhampiran van itu.

“Berdasarkan video 46 saat sewaktu kejadian, di mana orang ramai menyerang trak bomba dan menyebabkan ia berundur dan melanggar van EMRS di belakangnya.

“Saya juga boleh lihat dalam video itu, tingkap belakang dan kiri van EMRS telah pecah di akhir video itu,” katanya di depan Koroner, Rofiah Mohamad ketika menjawab soalan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, Syazlin Mansor pada hari ke-29 inkues, hari ini.

Shahrom berkata, seorang pegawai bomba menemui topi keledar motosikal dalam van EMRS pada hari kejadian.

Katanya, tingkap belakang dan kiri van EMRS pecah akibat hentakan topi keledar.

“Saya menjalankan uji kaji dengan meminta beberapa anggota bomba melempar topi keledar ke tingkap belakang dan kiri van EMRS dari jauh, tetapi tidak pecah, malah terpantul.

“Jika nak pecahkan (tingkap) memerlukan lebih 2 kali pukulan, iaitu 3 hingga 8 kali baru cermin itu akan pecah.”

Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.