Tawaran tempat program matrikulasi kepada India, Cina bersifat ‘one-off’, kata kementerian

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan menjelaskan tawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam Program Matrikulasi adalah inisiatif “one-off” bagi 2018.

Ia berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi, katanya dalam kenyataan.

Penjelasan tersebut menyusuli isu yang dibangkitkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy semalam mengenai pelajar bukan Melayu tidak mendapat tempat.

Kementerian menambah dasar pengambilan program matrikulasi masih mengekalkan 90% tempat kepada Bumiputera dan 10% tempat kepada bukan Bumiputera berdasarkan meritokrasi.

Kiraan merit berdasarkan kepada 4 mata pelajaran mengikut bidang yang dimohon, berpandukan bidang-bidang yang ada dalam program iaitu Sains, Perakaunan dan Kejuruteraan.

“Jika seseorang pelajar mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia, pengiraan merit hanya tertakluk kepada 4 subjek tertentu sahaja.”

Dalam masa sama, dasar sedia ada pengambilan pelajar ke program itu ditentukan melalui 90% pencapaian akademik dan 10% pencapaian ko-kurikulum.

Sementara itu, dasar pengambilan program matrikulasi bagi 2019 juga memperuntukkan 60% tempat kepada golongan berpendapatan rendah (B40), selaras dengan hasrat memperkasa golongan itu.

Manakala 40% tempat diperuntukkan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20).

“Pelaksanaan dasar baru ini lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak, dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar.”