22 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang ditahan SPRM

Sumber berkata, penahanan 22 penguat kuasa JPJ itu ialah siasatan peringkat ke-2 SPRM dan beliau tidak menolak kemungkinan ramai lagi penguat kuasa dan pegawai kanan JPJ akan dipanggil bagi membantu siasatan.

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menahan 22 lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang bagi membantu siasatan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri itu.

Sumber berkata, semua lelaki berusia 32 hingga 55 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang di sini antara 10 pagi hingga 4.15 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan.

“Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi semua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.”

Katanya, penahanan itu merupakan siasatan peringkat ke-2 dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi, termasuk penguat kuasa dan pegawai kanan JPJ yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan semuanya akan direman di mahkamah di sini, esok.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat kes itu dan akan memberikan kerjasama penuh.

Katanya, beliau akan memberikan keterangan kepada SPRM, jika ada keperluan.

Semalam, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi masih ditahan kerana siasatan ke atasnya belum selesai.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman 7 hari ke atas 30 individu, termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dikeluarkan susulan tangkapan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada 10 pagi hingga 10 malam Selasa lalu.