Ahli Parlimen hubungi peguam negara selepas majikan didakwa bunuh amah dibebaskan

Mahkamah Tinggi dilapor membebaskan Ambika MA Shan daripada pertuduhan membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia, Adelina Jerima Sau.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen meminta campur tangan peguam negara terhadap keputusan mahkamah membebaskan seorang majikan yang didakwa menyebabkan kematian pembantu rumahnya dari Indonesia, Adelina Jerima Sau.

Mahkamah Tinggi dilapor membebaskan Ambika MA Shan, 61, daripada pertuduhan membunuh, selepas timbalan pendakwa raya meminta dia dilepas tanpa dibebaskan.

Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyifatkan keputusan mahkamah itu “tragik” seperti kematian Adelina.

Katanya, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Saya membaca keputusan mahkamah baru-baru ini dengan kekecewaan. Saya sudah menghubungi peguam negara untuk mendapatkan penjelasan. Peguam negara memberitahu beliau akan siasat perkara itu sendiri untuk mengkaji tindakan lanjut.

“Saya percaya peguam negara dan sistem perundangan akan menegakkan keadilan (untuk mangsa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adelina yang ditemui dalam keadaan tangan dan kaki bernanah serta tidak boleh berjalan, diselamatkan dari rumah majikannya di Bukit Mertajam pada 10 Februari 2018.

Tahun lalu, pembantu Sim pergi ke sebuah rumah di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, di mana Adelina didakwa didera dan dipaksa tidur di tempat letak kereta dengan anjing peliharaan majikannya selama sebulan.

Keputusan mahkamah membebaskan majikan itu dikecam kumpulan hak asasi wanita, Tenaganita.

Semalam, Pengarah Eksekutifnya, Glorene A Das terkejut dengan keputusan mahkamah itu dan Jabatan Peguam Negara perlu menjelaskan kenapa tiada keadilan untuk membela Adelina, walaupun mempunyai bukti jelas.

Sim yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata, negara memerlukan akta lebih baik untuk melindungi pekerja asing.

“Eksploitasi pekerja asing ialah pelanggaran hak asasi manusia dan masalah sosial ekonomi. Tambahan, hak asasi semua manusia perlu dilindungi tanpa mengira kewarganegaraa.”