Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai MA63 akan ditubuhkan, kata menteri

Liew Vui Keong berharap DUN Sarawak akan mengikut langkah DUN Sabah meluluskan usul menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan berikutnya.

SANDAKAN: Sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan ditubuhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Katanya, jawatankuasa itu akan membabitkan ahli Parlimen terpilih bagi melengkapkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai perkara sama.

“Kami (kerajaan persekutuan) menyedari sebuah jawatankuasa melibatkan ahli Parlimen perlu bagi menjayakan pelaksanaan MA63.

“Pengerusi PSC itu nanti akan dijemput untuk menjadi anggota tetap Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyumbang kepada pelaksanaan MA63,” katanya selepas merasmikan Majlis Iltizam 2019 Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura 2 di sini, hari ini.

Liew gembira dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang meluluskan usul menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan dewan itu baru-baru ini.

Beliau berharap langkah sama akan dilaksanakan DUN Sarawak pada persidangan akan datang.

“Saya yakin DUN Sarawak akan mengambil langkah seperti DUN Sabah (menyokong pindaan).

“Saya juga akan berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai usul pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu.”

Mengenai rakaman video prosiding perbicaraan bekas perdana menteri, Najib Razak yang ditularkan, Liew percaya mahkamah akan mengambil tindakan terhadap individu yang memuat naik video itu ke Facebook.

“Yang mengecewakan ialah video yang dimuat naik itu bukan gambaran sepenuhnya perkara yang berlaku dalam mahkamah dan telah memberi ‘sense of false hope’ kerana telah disunting pendek.”

Semalam, video selama 2 minit 12 saat bertajuk “Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib” memaparkan rakaman peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi tersebar menerusi media sosial.