Kami masih bincang pengganti datuk bandar Ipoh, kata exco Perak

Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Zamri Man difahamkan menghidap penyakit misteri yang belum dikenal pasti. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seorang exco Perak mengesahkan kerajaan negeri masih mengadakan perbincangan untuk menggantikan Datuk Bandar Ipoh, Zamri Man yang dilaporkan tidak hadir bertugas sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Mulmedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Zamri difahamkan menghidap penyakit misteri dan pernah dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh.

Katanya, Zamri tidak dapat dikesan sejak Ogos 2018 dan kerajaan negeri pernah menghubungi ahli keluarganya, tetapi mereka enggan memberitahu penyakit atau di mana beliau berada atas alasan privasi.

“Kami di kalangan exco pun tidak dapat bertemu dengan beliau sehingga hari ini. Ada cubaan exco untuk ziarah, lawat tetapi memang tidak dapat bertemu.

“Kita tidak tahu perkara sebenar yang berlaku, tetapi difahamkan ada penyakit misteri yang kita belum dapat kepastian,” katanya selepas Majlis Sepetang Bersama Pemimpin Amanah di sini, hari ini.

Hasnul berkata, Zamri sudah menyerahkan satu sijil perubatan yang membolehkannya tidak hadir bertugas selama 60 hari.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong dilaporkan berkata, Zamri yang difahamkan tidak sihat tidak kelihatan selama beberapa bulan.

Ia menyebabkan kerajaan negeri terpaksa berbincang untuk mencari pengganti Zamri.

Yong hari ini berkata, mengikut undang-undang, datuk bandar layak mengambil cuti sakit selama 90 hari, tetapi beliau mendakwa Zamri sudah menggunakan semua cuti sakitnya.

Zamri yang dilantik sebagai datuk bandar Ipoh pada 2015, dilaporkan kali terakhir muncul di khalayak ramai ketika menghadiri satu acara berbasikal, Ogos tahun lalu.