Malaysia perlu 200 lagi pakar neurologi rawat pesakit strok

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor HIsham Abdullah berkata, rekod 2016 menunjukkan 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementerian sebanyak RM180 juta. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Malaysia memerlukan 200 lagi pakar neurologi untuk memastikan jumlah pesakit strok yang kian meningkat mendapat rawatan yang secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 92 pesakit strok dimasukkan ke hospital setiap hari dan kini negara hanya mempunyai 107 pakar neurologi.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan mempunyai 50 pakar dan pelatih neurologi, universiti mempunyai 33 pakar dan pelatih neurologi, manakala seramai 24 pakar neurologi adalah daripada sektor swasta.

“Secara keseluruhan, 107 (pakar) neurologi memang tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada jumlah kes strok yang besar.

“Kita perlukan 200 pakar neurologi lagi, bukan hanya tertumpu di hospital besar, tetapi juga hospital lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Strok Malaysia yang pertama di sini, hari ini.

Tambahnya, rekod pada 2016 menunjukkan seramai 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementerian sebanyak RM180 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata, sasaran itu mungkin hanya akan tercapai dalam tempoh 4 hingga 6 tahun lagi kerana untuk melatih pakar neurologi mengambil masa yang panjang.

Katanya, pada masa ini, kementerian mengambil langkah mengembang tenaga kepakaran dalam bidang lain yang sedia ada, bukan hanya tertumpu kepada pakar neurologi untuk menangani pesakit strok.

“Contohnya, sekiranya ada kes strok, pakar kecemasan boleh memberikan rawatan awal perkhidmatan strok di situ sebelum pesakit dirujukkan kepada pakar neurologi.

“Sekarang ini perkhidmatan kita ‘cut across horizontal’, bukan lagi ‘vertical’ yang tertumpu kepada neurologi sahaja.

“Kita juga perkasakan pakar dalam bidang lain, seperti klinik kesihatan, pakar perubatan keluarga, pakar kecemasan dan pakar perubatan am dalam membawa mereka bersama dalam rawatan pesakit strok,” katanya.

Noor Hisham berkata setakat ini, semua hospital di seluruh negeri mempunyai pakar neurologi, kecuali Kedah dan Perlis yang akan dibekalkan dengan pakar tersebut tidak lama lagi.

“Kita sedang melatih 11 pelatih neurologi dan mungkin dalam setahun dua lagi mereka akan menjadi pakar dan kita merancang untuk menempatkan mereka di kedua-dua negeri ini,” katanya.