Malaysia tidak capai status negara maju jika alam sekitar musnah, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap dalam acara Hari Bumi di Taman Tugu hari ini.

KUALA LUMPUR: Malaysia hanya akan menjadi negara maju jika a berupaya memastikan pembangunan fizikal beriringan dengan kehijauan alam sekitar.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, status negara maju tidak akan tercapai jika Malaysia hanya memperlihatkan bangunan pencakar langit, tetapi sungainya tercemar, hutan tandus dan udara dihirup tercemar.

Menurutnya, negara telah melihat kesan akibat pembangunan tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

“Kita telah melihat kesan akibat daripada pembangunan yang tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

“Perlu kita sedari, usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan hanyalah bangunan pencakar langit, tetapi sungai kita tercemar, hutan belantara kita hanya tinggal tanah yang tandus dan udara yang kita hirup teruk tercemar.

“Kita akan hanya berjaya menjadi sebuah negara maju apabila kita berupaya memastikan pembangunan fizikal negara beriringan dengan pemeliharaan alam semula jadi dan kehijauan kawasan persekitaran,” katanya ketika berucap semasa menghadiri Hari Bumi di Taman Tugu di sini, hari ini.

Katanya, semua pihak perlu mengambil tanggugjawab bagi memastikan kesedaran menjaga alam tercapai.

“Kesedaran yang ingin diterapkan amat jelas, iaitu memelihara alam dan persekitaran semula jadi adalah satu tanggungjawab persendirian dan kolektif.

“Tanggungjawab ini perlu berterusan dalam apa keadaan sekali pun,” katanya.

Hadir sama, isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang mencuri perhatian ramai apabila menyanyikan lagu Hijau dalam acara sama.

Lagu Hijau dipopularkan oleh penyanyi Zainal Abidin,

Antara pemimpin kerajaan yang hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamd Azmin Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.