Najib beri 5 sebab Felda gagal di bawah pentadbiran PH

Najib Razak berkata, Felda tidak memerlukan bantuan kewangan kerajaan ketika beliau menjadi perdana menteri.

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini berkata, Pakatan Harapan mencipta masalah untuk diri mereka dan memburukkan lagi masalah yang dihadapi Felda sejak tahun lalu.

Bekas perdana menteri itu menyenaraikan 5 sebab kegagalan Felda yang berpunca daripada manifesto pilihan raya PH, menyebabkan peneroka tidak membayar hutang mereka.

Tindakan itu menjejaskan aliran tunai Felda kerana RM7.7 bilion daripada RM8 bilion hutang Felda ialah pinjaman kepada peneroka.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kelewatan Putrajaya melantik pengerusi dan pasukan pengurusan baru untuk mengetuai Felda, melambatkan pembayaran kepada peneroka dan projek terpaksa dihentikan separuh jalan.

Katanya, satu lagi sebab ialah hampir 20,000 peneroka atau 20% daripada mereka menjual terus tandan sawit kepada pembeli luar dan bukannya Felda.

“Jika sebanyak 20,000 peneroka tertekan sehingga berbuat demikian, tentu ada sebabnya. Peneroka tidak ingin bayaran mereka lambat dan ditolak hutang.

“Pihak mana yang berjanji begitu dan pihak mana yang menyumbang kepada masalah ini?” soalnya sambil menambah masalah itu tidak pernah berlaku di bawah pentadbiran terdahulu.

Katanya, Felda mengalami kerugian kerana tidak dapat menjual semula hasil peneroka kepada FGV dan jumlah jualan FGV merosot RM3.5 bilion pada 2018 berbanding tahun sebelumnya sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian buat pertama kali sejak disenaraikan.

“Jika hasil jualan FGV merosot sebanyak RM3.5 bilion, sudah tentu Felda mengalami kesan negatif yang besar kerana kebanyakan hasil jualan Felda ialah kepada FGV.”

Najib berkata, satu lagi sebab ialah kerajaan PH lambat meluluskan bantuan kewangan kepada peneroka.

Katanya, Kementerian Kewangan hanya meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM77 juta pada Disember lalu.

Beliau berkata, harga jualan minyak sawit mentah merosot sekitar RM1,700 sehingga RM2,000 setan selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lalu, tidak banyak perbezaan daripada kos pengeluaran Felda kira-kira RM1,800 setan.

“Oleh kerana Felda mempunyai kos operasi dan kos tetap, harga jualan minyak sawit merupakan sebab utama pengaliran tunai Felda terjejas.”

Katanya, Felda tidak memerlukan bantuan kewangan sepanjang beliau menjadi perdana menteri.

Pada 10 April lalu, Putrajaya mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda yang menanggung kerugian dan hutang sejak sedekad lalu, susulan pembentangan kertas putih mengenai masalah kewangan dihadapi agensi itu di Dewan Rakyat.

Liabiliti keseluruhan Felda meningkat 12 kali ganda sejak 10 tahun lalu, daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017, menurut kertas putih dibentangkan di Parlimen yang menyenaraikan salah urus operasi, kegagalan pengurusan pelaburan dan integriti tahap rendah sebagai punca utama aliran tunai Felda rendah dan menjejaskan program pembangunannya.